Portal berita terbaik anda

Nahas & Bencana

Lori brek rosak rempuh tujuh kenderaan, 3 sekeluarga maut

KLUANG – Tiga sekeluarga termasuk suami isteri maut dalam kemalangan membabitkan lapan kenderaan berhampiran Plaza Tol Machap, dekat sini petang tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 3.40 petang membabitkan tiga lori dan lima kereta semuanya dari arah Simpang Renggam menghala Ayer Hitam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng, berkata tiga mangsa yang maut disahkan penumpang Hyundai Elantra yang dinaiki lima sekeluarga.

“Pasangan suami isteri, Wong Fook Onn, 55 dan Chong Yoke Choo, 52, maut di lokasi kejadian, manakala seorang lagi iaitu Tan Sow Ngo, 55, meninggal dunia di Hospital Kluang,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Mengulas lanjut, katanya kejadian berlaku apabila sebuah lori 10 tan hilang kawalan dan merempuh tujuh kenderaan lain yang ketika itu berhenti di lampu isyarat berhampiran Plaza Tol Machap.

“Ketika kejadian, Hyundai Elantra berada paling belakang menyebabkan kenderaan itu remuk dan dua mangsa iaitu suami isteri terbabit tersepit di tempat duduk masing-masing.

“Sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam yang bergegas ke lokasi dan membantu mengeluarkan mangsa, namun kedua-duanya disahkan meninggal dunia.

“Sementara lapan mangsa lain yang cedera dihantar ke Hospital Kluang dan klinik kesihatan berdekatan untuk menerima rawatan, sebelum seorang daripadanya disahkan maut,” katanya.

Rakan mangsa, Gan Lee Chiu, 46, ketika ditemui memaklumkan tiga mangsa yang maut itu menaiki kereta dengan dua ahli keluarga lain dan mereka dikatakan dalam perjalanan pulang selepas bercuti di Pontian.

Penolong Penguasa Bomba Mohamad Shamin Mohamed Salikin, memaklumkan sebuah jentera dan pacuan empat roda (4WD) dengan 10 anggota daripada BBP Ayer Hitam dikejarkan ke lokasi sejurus menerima maklumat mengenai kejadian itu.

“Dua mangsa itu berjaya dikeluarkan, namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang datang untuk memberikan bantuan kecemasan.

“Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Loading...

Leave a Reply