Lima sekeluarga maut kereta bertembung dengan bas ekspres

LIMA sekeluarga maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 325 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu, berhampiran Kampung Jeram Besu, Raub awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Raub Supt Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, dalam kejadian 3.45 pagi itu kesemua mangsa termasuk pasangan suami isteri Mohd Sajury Abdullah, 63, dan Sobariah Haron, 54, maut di tempat kejadian.

Tiga lagi mangsa ialah anak saudara mereka iaitu Muhammad Faezuan Nor Izuddin, 27; Nur Ilham Najwa Rahimi, 20; dan Uwais AlQurney Abdullah yang berusia 6 tahun.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Proton Persona yang dipandu Mohd Sajury dari arah Kuala Lumpur ke Kelantan terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan bas ekspres berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya pemandu bas ekspres tersebut dipercayai tidak sempat mengelak kerana jarak yang terlalu dekat.

Wan Mohd Zahari berkata pertembungan itu menyebabkan kedua-dua kenderaan terbabas ke bahu kiri jalan dengan kereta tersebut memasuki longkang sementara bas yang membawa 45 penumpang merempuh dua lot kedai makan yang ketika kejadian tidak beroperasi.

“Kemalangan turut menyebabkan seorang penumpang bas cedera ringan sementara pemandu dan penumpang lain selamat,” katanya.

Jenazah kesemua mangsa dibawa ke Hospital Raub untuk bedah siasat pada pagi ini, katanya, menambah siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *