Portal berita terbaik anda

Politik

Lim Guan Eng ‘menteri kewangan terhebat dunia’

KUALA LUMPUR: Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki hari ini menyifatkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebagai wajar dinobat sebagai ‘Menteri Kewangan Terbaik Dunia’.

Ini kerana, menurut Ketua Pemuda UMNO itu, Lim telah berjaya mengubah status Malaysia dari ‘negara bankrap’ kepada ‘kewangan kukuh’ dalam tempoh empat bulan sahaja.

Berucap di hadapan kira-kira 1,000 perwakilan Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Asyraf Wajdi berkata, tidak pernah dalam sejarah dunia sebuah negara berubah cemerlang hanya selepas empat bulan kerajaannya memegang kuasa.

“Sekejap (mereka) kata negara akan bankrap, tetapi baru empat bulan berkuasa, menteri itu sekali lagi mengubah kenyataan asal dan mendakwa ekonomi kembali kukuh.

“Pelik bin ajaib. Jampi serapah apa yang digunakan boleh merubah negara yang bankrap menjadi hebat dalam tempoh yang singkat?

“Itu tidak termasuk salah titik perpuluhan tatkala cuba menyalahkan kerajaan lama berkenaan angka baki tabung bayaran balik cukai barangan dan perkhidmatan (GST),” katanya dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO.

Beliau merujuk kepada kerajaan pusat pimpinan Pakatan Harapan (PH) ketika ini yang mengambil alih kuasa dari Barisan Nasional sejak memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu.

Bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, kenyataan demi kenyataan yang bercanggah dibuat antara satu sama lain oleh pemimpin PH menyebabkan rakyat merasa keliru.

Dakwanya, tindakan sedemikian mengurangkan keyakinan pelabur asing terhadap kedudukan kewangan negara.

Ujarnya lagi, bukan Lim seorang saja, tetapi menteri lain juga sering mengeluarkan kenyataan yang dilihat tidak wajar serta menunjukkan kelemahan ketara Kerajaan Persekutuan pimpinan PH.

“Ada menteri yang kononnya tunjuk prihatin kepada kos sara hidup nelayan. Setelah dia sendiri mansuhkan segala subsidi dan sara hidup bulanan, dicadangkan pula menanam nenas dan rambutan di belakang rumah bagi menambah pendapatan.

“Ada pula menteri yang bangga mendedahkan rahsia keselamatan dan pertahanan negara, kononnya hanya empat sahaja pesawat pejuang negara yang boleh terbang.

“Tetapi, pada sambutan Hari Kemerdekaan, kita dipersembahkan dengan lintas hormat puluhan jet-jet pejuang yang megah terbang,” katanya lagi.

Asyraf Wajdi berkata, akibat ‘kementahan’ menteri-menteri persekutuan, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terpaksa mengambil keputusan untuk mengekalkan Majlis Penasihat Kerajaan pimpinan Tun Daim Zainuddin walaupun ia sepatutnya hanya untuk tempoh 100 hari.

Loading...

Leave a Reply