Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Sukan

Liga Super: Terengganu tumpaskan FELDA United

KUALA TERENGGANU – Selepas kecundang pada tiga perlawanan terakhir Liga Super, Terengganu FC (TFC) akhirnya bangkit dengan menumpaskan FELDA United 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Penyerang sensasi TFC, Kipre Tchetche muncul wira pasukan selepas menjaringkan dua gol sekali gus berjaya membantu skuadnya mengutip tiga mata.

Terdahulu skuad TFC menguasai babak pertama dengan empat peluang terbaik memimpin perlawanan masing-masing menerusi Tchetche, Sanjar Shaakhmedov, Malik Mat Ariff dan kapten, Lee Tuck.

Bagaimanapun ketumpulan penyudah serta barisan penyerang kurang bijak memanfaatkan peluang menyaksikan skuad Penyu masuk ke bilik persalinan dengan wajah suram.

Kehadiran semula ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim daripada menuntut ilmu lesen pro di Kuala Lumpur juga belum mampu membantu skuadnya memburu jaringan awal.

Sebaliknya skuad The Fighters hampir di depan pada minit ke-38 menerusi percubaan S Chanthuru yang hanya berdepan dengan penjaga gol, Mohd Suffian Abd Rahman, namun pemain paling senior Liga Malaysia itu lebih pantas menghalang percubaan itu.

Memasuki babak kedua skuad Penyu menukar rentak permainan dengan lebih kerap menyerang dari sebelah kiri pintu gol pelawat dan hasilnya Tchetche berjaya meledak gol pertama perlawanan pada minit ke-49.

Jaringan itu berpunca selepas pemain kelahiran Ivory Coast itu mendapat bola dari luar kotak penalti dengan menggelecek tiga pemain sebelum merembat kencang dalam kotak penalti yang gagal ditepis keluar penjaga gol, Norazlan Razali.

Pada minit ke-85 Tchetche yang baharu meledak jaringan pertamanya musim ini dalam saingan Liga Super hampir menambah gol namun rembatannya singgah di palang.

Cubaan kapten FELDA, Jasazrin Jamaludin seminit kemudian juga terkena palang gol tuan rumah.

Seminit sebelum tamat masa sebenar, Tchetche menambah derita pelawat apabila meledak gol kedua peribadi hasil kesilapan Jasazrin yang menolak bola kepada penjaga golnya yang berjaya dipintas pemain itu.

Skuad pelawat tidak berputus asa dengan memperoleh gol saguhati pada masa kecederaan menerusi rembatan Kei Ikeda.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén