Liga Super: Terengganu belasah Melaka United 3-0

KUALA LUMPUR – Terengganu menafikan hasrat Melaka United bagi mendapatkan kemenangan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah apabila membenam skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan dengan keputusan 3-0 dalam aksi Liga Super, sebentar tadi.

Itu juga adalah kemenangan kedua buat Terengganu selepas enam perlawanan berlangsung dan telah mengumpul sembilan mata untuk berada di tangga keenam di belakang Melaka United dengan perbezaan satu mata.

Dalam perlawanan tersebut pemain pertahanan Terengganu, Nasrullah Hanif Johan menjaringkan gol pada minit ke-24 selepas memanfaatkan sepakan penjuru daripada Lee Andrew Tuck.

Pada minit ke-42, sekali lagi Andrew Tuck mencipta peluang jaringan apabila hantarannya berjaya dimanfaatkan dengan baik oleh pemain import Terengganu dari Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov yang tenang menggelecek pertahanan lawan sebelum merembat deras menggegarkan jaring gawang lawan.

Beraksi di laman sendiri memberikan banyak kelebihan buat Terengganu malah tidak berdepan masalah untuk terus memberikan tekanan ke atas pasukan lawan apabila menambah gol ketiga menerusi Ahmad Syamim Yahya pada minit ke-74. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *