Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Sukan

Liga Super: Faiz Nasir buat TFC merana

SHAH ALAM – Jaringan tunggal Faiz Nasir memastikan Selangor meraih kemenangan kedua selepas menang 1-0 ke atas Terengganu dalam aksi ketujuh Liga Super di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Selangor yang menerima kritikan hebat sehingga ada ura-ura mengatakan pengendalinya, B.Satiananthan bakal direhat, diredakan dengan kemenangan pertama mereka 3-2 ke atas Kuala Lumpur dalam aksi keenam sebelum liga berehat selama seminggu.

Terengganu mempunyai peluang keemasan untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-30 menerusi gerakan Lee Tuck dalam situasi satu lawan satu dengan penjaga gol tuan rumah, Farizal Harun, namun percubaannya sekadar melalui tiang kiri gawang Selangor.

Tiga minit kemudian, Red Giants turut mendapat peluang terbaik untuk meraih gol pendahuluan namun rembatan Faiz Nasir dalam kotak penalti berjaya ditampan keluar pertahanan Terengganu.

Bersambung babak kedua, Terengganu bermula garang apabila memperolehi dua peluang terbaik untuk membuka tirai jaringan masing-masing menerusi Lee Tuck pada minit ke-49 namun tampanan di dalam kotak sekadar melewati palang.

Disusuli rembatan pemain sayap kanan, Ashari Samsudin seminit kemudian yang singgah di tiang kanan gawang yang dikawal Farizal sekali gus melegakan penyokong Selangor yang hadir memberi sokongan.

Gerakan satu dua pemain tengah, Abdul Halim Saari dengan pertahanan kiri, K.Prabakaran sebelum melakukan hantaran lintang yang mudah disudahkan Faiz Nasir untuk meletakkan Selangor mendahului 1-0 pada minit ke-56.

Seminit kemudian pemain Harimau Malaya itu, sekali lagi berpeluang mencetak gol kedua namun rembatan lencong kaki kirinya berjaya diselamatkan penjaga gol pelawat, Suffian Ab Rahman.

Kedudukan kekal sehingga pengadil perlawanan, Zohri Tajuddin meniup wisel penamat meskipun kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, tetapi kegagalan jentera serangan menterjemahkan dalam bentuk jaringan menyaksikan hanya satu gol sahaja terhasil dalam perlawanan tersebut.- UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Theme by Anders Norén