Portal berita terbaik anda

Sukan

Liga Malaysia sah guna pengadil import musim depan

KUALA LUMPUR – Malaysia sah akan menggunakan khidmat pengadil ‘import’ musim depan, malah calon yang bakal dibawa bukan calang-calang sebaliknya pernah mengendalikan perlawanan antarabangsa seperti Piala Dunia dan Kejohanan Eropah (Euro).

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam berkata, pengadil daripada Liga Perdana Inggeris dan Liga Jepun itu diharap menjadi penyelesaian kepada isu pengadilan lemah yang ditimbulkan selama ini, dan mereka bukan sahaja bertindak sebagai pengajar, malah mengadili perlawanan.

Keputusan tersebut dicapai seiring dengan penubuhan Badan Pengadilan Bebas yang diumumkan Pengerusi MFL, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, hari ini.

“Kami sudah berbincang untuk membawa pengadil dari Jepun dan England ke Malaysia sebagai pengajar serta mengadili perlawanan. Ia tidak semestinya perlawanan utama, boleh jadi apa-apa sahaja perlawanan dalam liga yang belum diputuskan.

“Bagi peringkat awal, kita harap satu atau dua pengadil datang sebelum liga bermula tetapi kalau ada keperluan untuk tambah, kita akan pertimbangkan.

“Pengadil itu akan dilantik sebagai Pengurus Besar Badan Pengadilan Bebas dan ia telah disokong Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin) tetapi daripada pihak Jawatankuasa Pengadilan saya tidak tahu Subkhiddin Salleh (pengerusi) setuju atau tidak?

“Kriteria utama pengadil yang dipilih, perlu ada pengalaman beberapa tahun mengendalikan liga utama di negara mereka, selain pernah mengadili perlawanan antarabangsa seperti Piala Dunia dan Kejohanan Eropah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurut Kevin lagi, semua perbelanjaan pengadil tersebut akan ditanggung sepenuhnya oleh MFL.

Isu mutu pengadilan lemah pengadil tempatan hangat diperkatakan sejak Sabtu lalu apabila beberapa keputusan kontroversi dibuat Suresh Jayaraman ketika mengendalikan final Piala Malaysia.

Selain mempertikaikan pemilihan Suresh dalam perlawanan kontroversi yang dimenangi Perak menerusi penentuan sepakan penalti 4-1, Tunku Ismail juga antara orang yang sebelum ini mencadangkan pengambilan pengadil luar bagi mengendalikan perlawanan utama dalam liga tempatan.

Loading...

Leave a Reply