Lesen motosikal percuma hadiah istimewa untuk belia Terengganu

0
4845

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri menyasarkan seramai 20,864 belia berusia 16 hingga 40 tahun, memperoleh lesen motosikal percuma, tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata kerajaan negeri dijangka membelanjakan kira-kira RM6.3 juta bagi membiayai kos pelaksanaan itu membabitkan 652 belia belum memiliki lesen memandu di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau berkata, peruntukan terbabit akan dibentangkan oleh Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, pada persidangan Bajet 2019 Terengganu selama lima hari bermula 25 November depan.

“Bagi mengelakkan berlaku ketirisan dan dimonopoli pihak tidak bertanggungjawab, kerajaan negeri akan mengagihkan peruntukan sama rata kepada 12 institut memandu di seluruh Terengganu untuk melaksanakan kursus peraturan jalan raya serta undang-undang kepada golongan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada lawatan kerja EXCO kerajaan negeri di medan selera dan pasar pagi di Kampung Tiong, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed, dan Pegawai Khas Hal Ehwal Bukan Islam kepada Menteri Besar, Dr Balachandran Gopal Krishnan.

Wan Sukairi yang juga ADUN Wakaf Mempelam berkata, pemberian lesen motosikal percuma kepada belia dilaksana bagi mengurangkan gejala rempit tanpa lesen.

“Selain itu, kita mahu membantu mengurangkan beban keluarga yang sebelum ini terpaksa membayar RM300 untuk mendapatkan lesen berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan inisiatif itu bukan hanya pada tahun depan tetapi akan berterusan sebagai memenuhi manifesto pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Kerajaan negeri menyasarkan pelaksanaan pemberian lesen percuma kepada belia ini selesai sebelum Mac tahun depan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here