Lelaki tak jadi bunuh diri selepas dipujuk dengan rokok

ANGGOTA bomba dan penyelamat mengambil pendekatan kreatif dengan mengumpan sebatang rokok bagi memujuk seorang lelaki daripada terjun dari Jambatan Sultan Ismail di Muar, semalam.

Dalam kejadian pada jam 10.15 malam itu, orang ramai melihat seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di jambatan sebelum melaporkan kepada pihak berkuasa.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar, Ramli Said berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.29 malam sebelum sembilan anggota dengan satu jentera dan satu bot bergegas ke tempat kejadian.

“Apabila kami tiba di tempat kejadian kami dapati lelaki berusia 30 tahun dilihat dipercayai mahu terjun daripada jambatan berkenaan.

“Kami syak dia mahu terjun daripada jambatan dan cuba memujuknya untuk ke bahagian tengah bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Berikutan itu, kami cuba memujuknya termasuk mengumpan sebatang rokok dan memujuk mangsa sebelum berjaya menangkap mangsa dan dibawa ke kawasan selamat,” katanya.

Menurutnya, lelaki berkenaan kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan seterusnya.

Beliau berkata, operasi ditamatkan pada jam 10.56 malam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip mengesahkan pihaknya menerima laporan tentang kejadian itu.

You might like

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *