Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Jenayah

Lelaki muat naik kenyataan perkauman ditahan polis

PORT DICKSON – Polis menahan seorang lelaki berusia 37 tahun di Segamat, Johor kerana disyaki memuat naik kenyataan berbaur perkauman dan maki hamun dalam laman sosial Facebook baru-baru ini.

Ketua Polis daerah, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, suspek yang juga pemandu lori ditahan kira-kira pukul 6.30 petang pada 30 Ogos lalu di Taman KSM, Jementah.

“Lelaki itu ditahan selepas seorang lelaki berusia 34 tahun membuat laporan polis pada 29 Ogos lalu menyatakan semasa dia melayari laman sosial di Port Dickson terbaca komen pemilik akaun Facebook, Darsheini Malai.

“Komen tersebut amat tidak sesuai untuk Malaysia yang hidup berbilang kaum kerana boleh menggugat keharmonian negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Aidi Sham berkata, bertindak atas laporan itu sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat menahan suspek.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek mengaku membuat komen itu di Facebook kerana tidak puas hati terhadap satu komen yang dibuat oleh pemilik akaun lain.

Jelas beliau, suspek telah ditahan reman di lokap IPD Port Dickson selama empat hari bermula 31 Ogos lalu sehingga esok.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Theme by Anders Norén