Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Utama

Lelaki meninggal dunia ketika baca potongan ayat al-Quran

PENGERUSI Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Ujong Padang, Masjid Tanah, sempat memetik ayat 21 hingga 23 Surah al-Imran ketika membentangkan pelan pembangunan kampung itu sebelum rebah dan meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung, hari ini.

Allahyarham Ismail Jantan, 51, memetik ayat berkenaan ketika menjelaskan mengenai perancangannya untuk memajukan kampung itu pada sesi pembentangan cadangan pembangunan pada Bengkel Pengukuhan Pasukan dan Perancangan Strategik MPKK Parlimen Masjid Tanah di sebuah hotel di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin yang turut menghadiri kursus itu berkata, sejurus selesai membuat pembentangan, arwah menghulurkan alat pembesar suara kepada peserta lain sebelum tiba-tiba rebah pada 11.02 pagi.

Beliau berkata, peserta kursus segera memberikan bantuan pernafasan (CPR) kepada Ismail sementara menunggu ketibaan ambulans, sebelum pembantu perubatan yang tiba pada 11.30 pagi sekali lagi memberikan bantuan kecemasan berkenaan.

Katanya, Ismail kemudian dibawa ke Hospital Port Dickson dan dirawat di Wad Kecemasan, tetapi doktor mengesahkan dia sudah meninggal dunia.

“Arwah meninggalkan isteri, Azilah Mat Nahu, 40-an dan empat anak, iaitu Adam Mukhriz berusia 13 tahun, Hafizuddin, 20, Izzah Izati, 21 dan Muizzuddin, 23.

“Mayat arwah dibedah siasat di hospital itu dan dijangka dibawa pulang ke Kampung Lubok Redan, Masjid Tanah untuk dikebumikan malam ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mas Ermieyati berkata, kursus dua hari bermula semalam itu bertujuan memperkukuh fungsi MPKK dalam membantu memajukan komuniti masing-masing, selain merangka pelan pembangunan infrastruktur serta sosioekonomi anggota masyarakat.

Dalam pada itu, Pegawai Kebajikan Jawatankuasa dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Taboh Naning, Taufik Abdul Rahman, berkata peserta kursus sudah mencuba sedaya upaya untuk membantu arwah.

“Arwah pergi dengan tenang selepas memetik ayat surah al-Imran yang menyentuh mengenai kekuasaan Allah SWT memilih siapa yang layak menjadi pemimpin dan siapa yang dicabut kuasa mereka,” katanya.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén