Lelaki dijel 9 bulan curi tong gas, beras milik isteri

0
631

KUALA TERENGGANU – Perbuatan seorang buruh yang mencuri tong gas dan beras milik isterinya di dalam rumah mangsa sebelum dijual di sebuah kedai runcit membawa padah apabila dihukum penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Abdul Hayyi Salim memutuskan hukuman itu selepas Mohd Rizal Moharapi, 34, mengaku bersalah mencuri satu tong gas berwarna hijau bercetak Petronas dan dua kampit beras milik isterinya, Suzilawati Ja’afar, 32.

Mohd Rizal didakwa melakukan kesalahan yang melibatkan kerugian mangsa kira-kira RM100 itu di sebuah rumah di Taman Batin Perdana di Seberang Takir, Kuala Nerus kira-kira jam 10 pagi, pada 15 November lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Kes berkenaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan L Rathna.

Sumber: Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here