Lelaki bunuh dua beradik dipercayai ada masalah mental

0
43

YAN: Suspek berusia 49 tahun yang menetak dan mengelar dua beradik di Kampung Tengah, Jalan Kuala Sungai, di sini, dipercayai mengalami masalah mental.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner, Mior Faridalthrash Wahid, berkata siasatan awal setakat ini mendapati suspek kemungkinan mempunyai masalah mental sehingga sanggup bertindak sedemikian, namun siasatan lanjut masih dijalankan.

Katanya, suspek memang mengenali bapa kepada mangsa, malah rumah mereka juga berhampiran dan pihaknya akan memanggil mereka yang berada di lokasi kejadian termasuk bapa mangsa untuk mengetahui motif kejadian.

“Suspek yang ditahan juga masih belum memberi kerjasama mengapa dia bertindak seperti itu.

“Kita juga sedang menunggu hasil laporan bedah siasat untuk mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa,” katanya ketika ditemui melawat lokasi kejadian petang ini.

Mior Faridalthrash berkata, semakan juga mendapati lelaki itu yang sudah bercerai dua tahun lalu itu memiliki beberapa rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah.

“Kita juga sudah menjalankan ujian saringan air kencing dan sedang menunggu keputusan sama ada positif atau tidak.

“Sebilah parang ditemui di atas jalan manakala sebilah parang lagi ditemui di rumah suspek,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Saya juga menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung motif kejadian seperti ada masalah hutang atau sebagainya.

“Biarkan kita jalankan siasatan dulu selepas selesai mengambil keterangan semua pihak,” katanya.

Tinjauan juga mendapati lokasi rumah mangsa dengan suspek terletak kira-kira 300 meter dan difahamkan duda anak dua itu tinggal bersendirian selepas bercerai.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here