Portal berita terbaik anda

Politik

‘Layan kami seperti manusia ada maruah’ – Rosmah

Isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata keluarganya harus dilayan sama seperti manusia biasa yang memiliki maruah dan harga diri.

Beliau berkata demikian berikutan serbuan pihak berkuasa di kediamannya dalam melengkapkan siasatan mereka terhadap 1MDB.

“Saya memahami serbuan pada waktu subuh itu. Saya faham. Saya percaya seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

“Sebaliknya, kami harus diperlakukan seperti manusia biasa. Ada hak untuk memiliki maruah,” kata Rosmah dalam temu bual dengan Malay Mail.

Rosmah merujuk kepada tulisan Datuk A Kadir Jasin mengenai serbuan polis di kediaman Datuk Seri Najib Razak dan rampasan terhadap barangan mewah dalam siasatan mereka.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman baru-baru ini menyerbu beberapa lokasi, termasuk kediaman Najib di Taman Duta dan merampas kotak beg tangan, pakaian dan hadiah.

Polis turut menyerbu tiga unit kondominium yang dikaitkan dengan Najib di Pavilion Residences, Bukit Bintang dan merampas 72 beg wang tunai, barangan kemas dan barang berharga lain, serta 284 kotak beg tangan berjenama mewah.

Baca: Kondominium Najib digeledah, 284 kotak dan 72 bagasi wang tunai dirampas

Rosmah berkata keluarganya tenang menghadapi tindakan pihak berkuasa namun berharap perkara itu akan berakhir tidak lama lagi.

“Kami menerimanya dengan baik, saya fikir kami agak tenang, menjadi keluarga ahli politik. Ini hanya satu daripada cubaan dan kesukaran, bahaya dalam politik.

“Saya mahu perkara ini berakhir secepat mungkin kerana kami mahu meneruskan kehidupan kami,” katanya dipetik sebagai berkata.

Najib yang pernah menjadi individu paling berkuasa di negara ini, kini menghadapi siasatan 1MDB selepas BN mengalami kekalahan pertama sejak merdeka pada pilihan raya umum 9 Mei lalu, setelah 61 tahun berkuasa.

Najib didakwa menerima deposit berbilion ringgit dalam akaun bank peribadinya, yang mana siasatan antarabangsa mendakwa ia berasal dari 1MDB.

Beliau bagaimanapun menafikan terlibat dalam salah laku atau mengambil dana awam untuk keuntungan peribadi.

Loading...

Leave a Reply