Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Utama

Lawatan pegawai kanan polis ke Turki dilulus sejak 2017 – Guan Eng

PUTRAJAYA – Isu tajaan rombongan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun ke Turki yang dilaporkan terpalit dengan penglibatan syarikat nombor ramalan, menjadi bertambah panas hari ini.

Selepas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki semalam mendakwa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tidak berperasaan sensitif terhadap hukum Islam dan sentimen rakyat dengan membenarkan pembiayaan seumpama itu, Guan Eng hari ini tampil membalas kenyataan berkenaan.

Jelas Guan Eng hari ini mendedahkan bahawa Lembaga Pengarah Totalisator Malaysia telah meluluskan penajaan lawatan itu pada 2017.

“Jadi adakah Asyraf Wajdi ketika itu kalau tak silap saya ialah timbalan menteri, adakah beliau tuju kepada diri sendiri? Kos lawatan itu adalah RM184,685 ditaja oleh syarikat berkanun Totalisator Malaysia.

“Lembaga pengarahnya tidak merujuk kepada Kementerian Kewangan dan tanpa pengetahuan saya juga. Saya hanya baca di surat khabar baru tahu ada perkara sedemikian,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Mesra Warga Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia 2019 di sini hari ini.

Ditanya adakah amalan menaja pegawai-pegawai kerajaan seumpama itu normal, Guan Eng mengulangi bahawa terdapat kuasa untuk membuat keputusan sedemikian tanpa merujuk kepada Kementerian Kewangan atau menterinya.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan kunjungan Mohamad Fuzi bersama pegawainya ke Turki bukan untuk tujuan peribadi kerana ditaja oleh Lembaga Pengarah Totalisator Malaysia bagi memberi pendedahan kepada pegawai polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk belajar cara membanteras judi haram dari negara lain.

Guan Eng pula semalam mendedahkan Kementerian Kewangan tidak pernah meluluskan lawatan itu kerana ia diluluskan Lembaga Pengarah Totalisator Malaysia yang merupakan syarikat di bawah kementerian tersebut manakala sumber kewangan bagi lawatan berkenaan ditaja oleh syarikat nombor ramalan. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Theme by Anders Norén