Panggilan video terakhir, lafaz syahadah iringi pemergian suami

Temerloh: “Saya kehilangan suara dan menangis melihat keadaan suami yang nazak ketika itu, sangat sedih kerana tidak dapat bersamanya pada saat akhir, tidak dapat mengucup dahinya.

“Ketika itu suami ditidurkan tetapi doktor meminta saya mengajar kalimah syahadah berikutan peratusan oksigen semakin merosot, beberapa minit kemudian doktor memaklumkan suami sudah meninggal dunia,” kata Nurhaslin Mohd Suhaimi Udaya, 30.

Nurhaslin berkata, isteri mana yang tidak trauma apabila doktor membuat panggilan video dan meminta mengajar dua kalimah syahadah kepada suami yang nazak akibat positif Covid-19.

Menceritakan semula detik itu, Nurhaslin berkata, dia menerima panggilan video daripada doktor pada 7.30 pagi , 7 Ogos lalu yang menjadi pengalaman yang tidak pernah terfikir olehnya.

Dia berkata, suaminya Muhamad Izzmanudin Ibrahim, 34, meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) pada 7.48 pagi, hari sama selepas 12 hari bertarung nyawa menerima rawatan di Unit Rawatan rapi (ICU) hospital berkenaan.

“Suami bekerja sebagai Pegawai Khidmat Pelanggan di sebuah bank di Bukit Damansara positif Covid-19 pada 11 Julai lalu dan menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.

“Bagaimanapun, keadaan suaminya bertambah teruk ketika menjalani kuarantin di rumah menyebabkannya dimasukkan ke ICU HUKM,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Nurhaslin yang berasal dari Mentakab berkata, dia reda dengan ketentuan Ilahi tetapi masih sedih dan buntu mengenangkan nasib kedua anaknya yang masih kecil dan tidak mengerti apa-apa.

“Saya akan segera mencari pekerjaan bagi memastikan segala keperluan anak dapat disediakan demi masa depan mereka.

“Perasaan sedih pilu tentunya menyelubungi dan yang pasti kerinduan yang tidak berpenghujung, namun saya perlu bekerja untuk membesarkan dua anak yang masih kecil dan membayar sewa rumah di Taman Bukit Jalil, Selangor,” katanya.

Nurhaslin berkahwin arwah Muhamad Izzmanudin pada 2017 dan dikurniakan dua anak iaitu Muhammad Izz Thaqil Thalhah, 3, dan Muhammad Izz Qays Qarizh, 5 bulan.

Dalam keadaan anak yang masih belum memahami dan tidak menyedari kehilangan bapa buat selamanya membuatkan Nurhaslin berasa kosong dalam meneruskan kehidupan khususnya memastikan masa depan dua anaknya.

“Anak masih belum mengerti apa-apa. Semasa dikebumikan anak ada bertanyakan bapa sakit apa dan saya menyatakan bapa sudah tiada.

“Jadi sekarang (menetap) di rumah emak ada ramai orang, menyebabkan mereka (anak) leka bermain dan tidaklah bertanyakan tentang bapa mereka,” katanya.

Sementara itu, dugaan berat dihadapi Nurhaslin mendapat perhatian Wanita Umno Temerloh yang menyampaikan sumbangan wang dan bantuan barangan serta sokongan moral kepada Nurhaslin di rumah ibunya di Taman Sri Layang Mentakab di sini.

Loading...
Published
Categorized as Utama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *