Koronavirus: Malaysia catat aliran keluar dana lebih RM400 juta

KUALA LUMPUR – Pelabur asing menjadi penjual bersih di dalam pasaran saham tempatan bagi minggu yang baru berakhir, mencatatkan aliran keluar bernilai RM409.14 juta bagi tempoh 28 hingga 30 Januari berbanding aliran masuk bersih sebanyak RM23.48 juta dari 20 hingga 23 Januari.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ini susulan laporan mengenai wabak 2019 novel coronavirus yang terus menjadi perhatian.

“Purata kadar penyertaan institusi asing dan tempatan masing-masing pada 19.45 peratus dan 44.91 peratus, berbanding 18.4 peratus (institusi asing) dan 54.0 peratus (institusi tempatan) bagi tempoh yang sama pada minggu sebelumnya,” katanya kepada Bernama.

Institusi tempatan merekodkan jualan bersih bernilai RM115.73 juta pada 28 hingga 30 Januari, berbanding jualan bersih bernilai RM48.51 juta pada 20 hingga 23 Januari.

Sementara itu, aliran dana bersih bagi runcit tempatan mencatatkan belian bersih bernilai RM293.41 juta dengan purata penyertaan 35.64 peratus pada 28 hingga 30 Januari berbanding belian bersih RM25.03 juta dengan purata penyertaan sebanyak 27.97 peratus bagi tempoh 20 hingga 23 Januari.

Mohd Afzanizam berkata, pasaran kekal berhati-hati terhadap impak coronavirus memandangkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengelaskan wabak itu di bawah Kecemasan Kesihatan Awam susulan Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC), menunjukkan penularan wabak itu adalah teruk.

Bagaimanapun, WHO memuji usaha pihak berkuasa China untuk berkongsi maklumat mengenai tahap penularan wabak berkenaan.

“Secara ringkasnya, ia mod risiko sepanjang minggu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pakar Strategi Pasaran AxiCorp, Stephen Innes berkata keadaan negatif dalam penjualan berlaku apabila kebimbangan (mengenai coronavirus) mempengaruhi peniaga pasaran memandangkan mereka pantas melepaskan nisbah modal masing-masing.

“Terdapat beberapa kesukaran bagi aliran masuk di rantau ini minggu ini, namun jika insiden penularan wabak itu mulai lemah pada minggu depan, saya menjangkakan pasaran akan mengalami pembelian untuk mendapatkan hasil, terutama bagi ekuiti dan bon di bawah nilai, sekiranya Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) memberi petunjuk bagi kadar faedah rendah,” katanya.

Beliau berkata, jika penularan koronavirus turun secara ketara, aliran masuk dana ke pasaran seperti Korea Selatan, Malaysia dan Australia adalah pilihan utama untuk minggu depan, memandangkan negara-negara ini adalah antara rakan dagang terbesar China.

“Selain itu, penstabilan yuan China berbanding dolar AS, yang telah diniagakan di bawah 7.0 renminbi berbanding AS$1 juga petanda yang baik untuk pasaran ini,” katanya.

-BERNAMA

Loading...

Leave a Reply