Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Politik

Kor Ming nasihat Najib bertaubat, kembali ke pangkal jalan

KUALA LUMPUR – Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming menasihati bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya ‘bertaubat’ dan kembali kepangkal jalan daripada terus melakukan perbuatan menabur fitnah.

Beliau berkata, sebagai seorang yang beragama Islam Najib tidak sepatutnya membiarkan dirinya terjerumus dalam kancah fitnah kerana perbuatan itu juga merupakan satu dosa besar.

“Nasihat saya kepada Datuk Seri Najib, sila bertaubat dan kembali kepangkuan jalan sebelum terlambat.

“Janganlah terus terjerumus dalam kancah menabur fitnah kerana dari segi Islam fitnah adalah satu dosa yang besar dan itu tidak baik.

“Kembalilah ke pangkuan jalan sebagai seorang kekanda beliau harus faham betapa seriusnya apabila kamu terus menabur fitnah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kor Ming berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai satu hantaran di Facebook yang dibuat oleh Ahli Parlimen Pekan apabila meminta kerajaan mengambil tindakan terhadap dirinya kerana didakwa menghasut warga Cina untuk membenci Sultan Selangor.

Najib membuat tuduhan itu berdasarkan hantaran dalam tulisan Cina menggunakan nama ‘Nga Kor Ming Super Fans Page’ berhubung isu papan tanda yang mempunyai tulisan Cina.

Mengulas lanjut, Kor Ming yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat menyifatkan Najib bersikap demikian kerana bekas perdana menteri itu tidak lagi sibuk seperti dahulu dan disebabkan itu masa yang terluang digunakan olehnya untuk menyerang beliau.

“Apabila ada seorang bekas perdana menteri memakai berita palsu untuk serang DAP ataupun saya ia menunjukkan beliau sebenarnya sudah ketandusan idea.

“Beliau kebuntuan jalan tak tau nak buat apa dan kini kerjanya menabur berita-berita dan membantu menyebarkan berita palsu. Saya dah tegaskan itu berita palsu, berapa jauh dia boleh pergi,” ujarnya.

Kor Ming turut menyindir Najib kerana beliau kini sering memberi perhatian kepadanya meskipun mengetahui bekas perdana menteri itu mempunyai agenda tertentu.

Tambah beliau, serangan seperti dilakukan oleh Najib itu bukanlah yang pertama sebaliknya, ia sudah acapkali berlaku.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai tindakan yang akan diambil oleh pihaknya ke atas Najib susulan pernyataan fitnah itu, Kor Ming berkata, ketika ini beliau menunggu arahan daripada peguamnya untuk tindakan lanjut.

Kor Ming memberitahu, pihaknya juga telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut dan laporan polis turut akan dibuat selepas ini. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Theme by Anders Norén