Portal berita terbaik anda

Utama

Klinik berusia 44 tahun jual MC, ubat tamat tempoh diarah tutup serta-merta

JOHOR BAHRU – Sebuah klinik di Taman Century di sini yang beroperasi sejak 1975 diarah tutup serta merta selama 21 hari selepas didapati menjual sijil cuti sakit selain memberi ubat-ubatan tamat tempoh kepada pesakitnya.

Klinik terbabit juga perlu menjawab surat tunjuk sebab dalam tempoh sama selepas didapati gagal untuk memastikan pematuhan kepada aspek keselamatan dan kualiti penjagaan pesakit.

Notis terbabit diserahkan oleh Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menerusi enam pegawai yang hadir di premis terbabit sebentar tadi.

Pemeriksaan dan notis penutupan dikeluarkan selepas pihak klinik gagal mengikut notis amaran yang telah dikeluarkan oleh pihak JKNJ sejak enam bulan lalu.

Difahamkan, klinik terbabit disyaki menjual sijil cuti sakit dengan harga sekitar RM15 hingga RM20 bergantung kepada hari selain keadaan klinik yang kotor dan tidak terurus.

Kegiatan itu bagaimanapun terbongkar selepas JKNJ menerima aduan daripada majikan dan orang ramai.

Sekiranya pemilik klinik terbabit gagal mematuhi arahan yang telah dikeluarkan, tindakan undang-undang boleh dikenakan mengikut 586 yang membawa hukuman denda RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Selahuddeen Abd. Aziz ketika dihubungi mengesahkan pengeluaran notis penutupan klinik terbabit. – K! ONLINE!

Loading...

Leave a Reply