Portal berita terbaik anda

Utama

KKM sahkan mi laksa punca keracunan

AGEN penyebab keracunan laksa yang dibeli di premis di Baling adalah bakteria Salmonella enterica serovar Weltevreden, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, ia berdasarkan hasil siasatan dan keputusan lengkap Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh dan Makmal Keselamatan Kualiti Makanan Pulau Pinang, diperoleh hari ini.

Beliau berkata, ia dikesan dalam sampel klinikal pesakit dan sampel mi laksa terbabit.

“Untuk makluman, dengan menggunakan kaedah ujian Pulse Field Gel Electrophoresis (PFGE), didapati bakteria itu berpunca dari satu sumber iaitu mi laksa yang dibeli pada 4 Oktober lalu dari gerai terbabit.

“Mi laksa yang dijual pada 4 Oktober itu dihasilkan di premis pemprosesan mi laksa, milik pengusaha yang juga tuan punya gerai terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, faktor risiko yang menyumbang kepada kejadian keracunan makanan ini berkemungkinan berpunca dari proses penyediaan dan penyimpanan mi laksa yang tidak bersih.

“Selain itu faktor suhu penyediaan mi laksa semasa pemprosesan dan suhu pemanasan semula mi laksa sebelum dimakan tidak mencukupi untuk menyahkuman.

“Pada petang tadi (hari ini) pemilik gerai menjual mi laksa terbabit sudah dimaklumkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Baling berkaitan hasil siasatan yang dijalankan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Salmonella enterica serovar Weltevreden adalah salah satu dari serotaip bakteria Salmonella spp.

Katanya, jangkitan oleh bakteria ini boleh menyebabkan gejala seperti demam, muntah, sakit perut dan cirit-birit.

“Jangkitan lazimnya berlaku akibat pencemaran makanan dan air oleh bakteria ini,” katanya.

Tambah beliau, gerai menjual laksa terbabit sudah ditutup di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit 1988 sejak 8 Oktober lalu.

“Tuan punya gerai harus mengambil langkah-langkah pembaikan segera dengan memastikan semua keperluan Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985, Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dan keperluan Pihak Berkuasa Tempatan dipatuhi sepenuhnya.

“Tuan punya gerai terbabit juga sudah dimaklumkan sekiranya semua keperluan ini dipatuhi maka premis ini boleh dibuka semula,” katanya.

Loading...

Leave a Reply