KKM sahkan Deeja Cosmetic antara 5 produk mengandungi racun

0
3264

BANGI – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa orang ramai berhenti membeli dan menggunakan lima produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual iaitu merkuri, hydroquinone dan tretinoin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, produk itu ialah Deeja Cosmetic Star Cream yang dikesan mengandungi hydroquinone dan tretinoin, sementara Deeja Cosmetic Vogue Cream, Deeja Krim Nano (Night), Miracle White-Brightening Cream dan Deluxe Beauty-Ultra Lightening Cream dikesan mempunya merkuri.

“Notifikasi produk-produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM berikutan pengesanan bahan racun berjadual di dalam produk berkenaan.

“Produk yang mengandungi hydroquinone dan tretinoin adalah merupakan produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan,” katanya.

Beliau menjelaskan, kesan penggunaan hydroquinone boleh menghalang proses pigmentasi yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV berbahaya dan berisiko mendapat kanser kulit.

“Merkuri yang terkandung dalam produk kosmetik boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

“Selain itu, kesan mudarat akibat pendedahan kepada merkuri boleh juga dialami oleh orang sekeliling terutamanya kanak-kanak apabila produk kosmetik yang mengandungi merkuri yang disapu pada kulit meruap dan dihidu,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, penjual dan pengedar produk kosmetik ini diberi amaran untuk menghentikan penjualan dan pengedaran produk terbabit serta-merta.

“Penjual adalah diingatkan bahawa penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat dari ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan sampingan,” katanya. – ismaweb

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here