‘Kita balik sama-sama tapi abang dalam keadaan kaku’ – Tunang Adib

KUALA LUMPUR – “Kita balik sama-sama, tapi abang dalam keadaan kaku.”

Itu luahan Nurul Najihah Mohd. Radzi, 25, tunang kepada pegawai bomba, Muhamad Adib Mohd. Kassim yang meninggal dunia malam tadi akibat dipukul perusuh dalam kejadian di kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, dekat sini bulan lalu.

Nurul Najihah menerusi satu entri dalam laman sosial Instagram miliknya malam tadi berkata, beliau dan Muhammad Adib sepatutnya pulang bersama-sama pada hari ini untuk persiapan perkahwinan mereka yang berbaki tiga hari lagi.

“Al-Fatihah Kudip (Muhammad Adib). Esok (hari ini) kita sama-sama cuti untuk balik kampung untuk wedding kita.

“Ya abang. Kita balik sama-sama. Patutnya kita balik drive. Tapi orang balik juga dengan abang, tapi abang dalam keadaan kaku,” tulisnya.

Nurul Najihah memuat naik kata-kata tersebut bersama gambar kad kahwin mereka yang bertarikh 22 Disember.

Selain itu, Nurul Najihah turut memuat naik gambar berdua dengan allahyarham di ‘instastory’ dengan kata-kata ‘Al-Fatihah. Walau apa pun terjadi, ada kenangan yang tidak dapat diganti’ (No matter what happens, some memories can’t never be replaced).

Allahyarham Muhammad Adib disahkan meninggal dunia pada pukul 9.41 malam tadi selepas tiga minggu dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).

Jenazah Allahyarham telah diterbangkan ke kampung halaman, Kampung Tebengau, Kuala Kedah dari Pangkalan Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Subang, pada pukul 8.50 pagi tadi dan tiba di Kuala Kedah pada pukul 10.30 pagi.-UTUSAN ONLINE

Loading...
Published
Categorized as Utama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *