Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Utama

Khazanah rugi sebab BN – Azmin

KUALA LUMPUR – Kerugian dialami Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) berpunca daripada pelaburan dibuat kerajaan terdahulu sebelum Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pemerintahan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kerugian terbesar Khazanah disebabkan pelaburannya dalam Malaysia Airlines Berhad yang gagal memperbaiki prestasi syarikat penerbangan itu.

“Masalah sesetengah ahli politik hari ini, menteri yang gagal kerana mereka hanya akan bercakap dahulu, periksa kemudian. Akhirnya, ibarat meludah ke langit, jatuh ke muka sendiri.

“Walaupun benar Khazanah melaporkan kerugian RM6 bilion dan meningkat kepada RM7 bilion akibat pengurangan nilai aset, ini berpunca daripada semakan semula aset dan pelaburan yang dibuat sebelum PH mengambil alih (kerajaan).

“Kerugian tunggal terbesar dalam (penyata keuntungan dan kerugian) lebih RM3 bilion adalah Malaysia Airlines kerana strategi dilaksanakan gagal membaik pulih syarikat itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam beberapa status yang dimuat naik dalam akaun Twitter rasminya, hari ini.

Media semalam melaporkan Khazanah mencatatkan kerugian sebelum cukai RM6.271 bilion pada 2018 berbanding keuntungan RM2.896 bilion tahun sebelumnya, kerugian pertama sayap pelaburan kerajaan itu sejak 2005.

Nilai portfolio menerusi Nilai Bersih Dilaraskan (NWA) merosot kepada RM91 bilion pada 2018, susut 21.6 peratus daripada RM116 bilion pada 2017.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, pelaburan dibuat sejak beberapa tahun lalu perlu dikurangkan, selain yakin Khazanah akan menjana keuntungan semula tahun ini.

“Ketepikan polemik rugi ini. Pada dasarnya, kerugian dialami disebabkan kecacatan pelaburan yang dibuat sebelum PH mengambil alih pada 9 Mei tahun lalu,” katanya.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén