Khalwat: Gadis tak serik dicekup kali ketiga

247

KUALA TERENGGANU – Seorang gadis mengaku disebabkan ketagih, dia tidak serik meskipun sudah memiliki rekod, malah pernah dikenakan hukuman kerana kesalahan berkhalwat sebelum membuat pengakuan salah kali ketiga kerana kesalahan sama ketika dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu, hari ini.

Susulan pengakuan salah itu, gadis berusia 25 tahun yang dicekup buat kali ketiga bersama pasangan berbeza diperintahkan dihantar ke Pusat Pemulihan Wanita di Sabak Bernam, Selangor selama empat bulan.

Terdahulu, dia yang berasal dari Wakaf Tapai, Marang, mengaku bersalah berkhalwat bersama pasangannya, 21, dari Jalan Pasir Panjang, di sini, di sebuah bilik hotel bajet di Kuala Terengganu, lebih kurang jam 10.20 pagi, pada 2 Januari tahun lalu.

Dengan itu, dia mengaku salah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 31(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat.

Bagi kesalahan itu, dia boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, jika disabitkan kesalahan.

Sebelum ini, dia yang pernah dicekup berkhalwat seawal usia 16 tahun di sebuah hotel bersama pasangan berbeza pernah dikenakan hukuman bon berkelakuan baik selama tempoh dua tahun.

Bagaimanapun, dua tahun lalu, dia yang ketika itu berusia 23 tahun sekali lagi ditangkap di dalam hotel bersama pasangan yang lain.

Ketika ditanya mahkamah sama ada ada terlibat dengan sindiket pelacuran, dia dengan yakin menafikan, malah memaklumkan perbuatan itu dengan kerelaan dirinya kerana ketagih melakukan perbuatan itu.

Turut hadir sama ibu gadis tersebut yang turut merayu kepada mahkamah agar anaknya tidak dihantar ke penjara atau pusat pemulihan kerana tidak sanggup berpisah dan terlalu sayang kepada anak gadisnya itu.

Bagaimanapun, rayuan itu ditolak kerana mahkamah berpendapat gadis itu perlu diberikan hukuman berbentuk lebih kepada satu sokongan dan penjagaan yang khusus memandangkan hukuman yang dikenakan sebelum ini gagal memberi kesan berguna bahkan dia langsung tidak takut dan gerun dengan hukuman diberikan.

Sementara itu, pasangannya, seorang penganggur yang turut mengaku salah atas kesalahan sama dikenakan hukuman denda RM2,400 atau sebulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda ditetapkan.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie, Khanurulhajja Mustafar dihadapan Hakim Mohd Fakhruddin Yusof.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here