Ketuanan Melayu: Pandangan Syed Saddiq disalah tafsir – Muhyiddin

0
81

MUAR – Pandangan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengenai ketuanan Melayu sudah berakhir disalah tafsir seolah-olah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak memperjuangkan kepentingan orang Melayu.

Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin. berkata, sebaliknya parti berkenaan sendiri wujud atas dasar memperjuangkan nasib orang Melayu selaras dengan perkara-perkara termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Meskipun memperjuangkan nasib Melayu, negara kita ini juga ada kaum bukan Melayu yang turut memerlukan sokongan daripada kita supaya mereka juga boleh bersama-sama berkongsi kekayaan ada di negara ini.

“Kita kena faham dalam senario dan situasi zaman kini, zaman selepas kita menang pilihan raya dan membentuk kerajaan dengan harapan baharu, di situlah kita berjanji bahawa kita akan berlaku adil dan saksama kepada semua rakyat Malaysia tidak kira apa jua kaum dan keturunan,” katanya.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata demikian ketika sesi soal jawab pada majlis perasmian Persidangan Perwakilan Tahunan PPBM Bahagian Pagoh Kali Pertama 2018 di Pagoh, di sini, hari ini.

Semalam, Syed Saddiq yang juga Ketua Pemuda PPBM dilaporkan berkata, zaman ketuanan Melayu telah berakhir selain Malaysia bergerak ke arah fasa baharu yang memperjuangkan kesaksamaan dan perkara tersebut turut menjadi agenda yang akan diperjuangkan PPBM.

Video Ahli Parlimen Muar itu turut menjadi tular di media sosial semalam dan menjadi perbincangan orang ramai.

Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, perjuangan parti itu adalah untuk terus mengangkat darjat dan martabat rakyat Malaysia agar masyarakat di negara ini terus menjadi bangsa yang maju dan dihormati.

“Sebab itu kalau ada dalam kumpulan masyarakat di Malaysia tidak kira apa kaum sekali pun seperti miskin, papa kedana kita bantu, jangan cakap saja ketuanan itu ketuanan ini tapi tidak ada langkah berkesan dan tiada apa dikotakan.

“Kita ingin mencari satu pendekatan lebih sesuai, naratif lebih baik dan boleh diterima semua masyarakat kerana masih banyak perkara belum diselesaikan dan harus dilakukan. Dalam kita memperjuangkan hak orang Melayu, kita turut ingin berkongsi kekayaan secara bersama,” katanya.

Dalam pada itu, ketika berucap pada majlis berkenaan, Muhyiddin yang juga Adun Gambir menasihatkan kesemua ahli parti menjaga tingkah laku dan tutur kata berikutan cabaran masa kini menyaksikan segala perkataan dan perbuatan dilakukan mudah tular di laman sosial sekali gus boleh mencemarkan nama baik parti. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here