Portal berita terbaik anda

Utama

Kes SRC: Nasib Najib ditentukan 28 Julai ini

KEPUTUSAN sama ada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan disabitkan atau dilepaskan daripada tujuh pertuduhan menyelewengkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd akan diketahui pada 28 Julai.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan dikemukakan pihak pendakwaan dan pembelaan pada akhir kes pembelaan selama lima hari sejak Isnin.

Beliau berkata, kedua-dua pihak telah mengemukakan hujahan bertulis yang panjang lebar dan terperinci, berjumlah 2,000 muka surat, untuk membantu mahkamah dalam memastikan dan menilai, serta menentukan, sama ada pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melangkaui keraguan munasabah.

“Saya mahu menyampaikan keputusan muktamad saya terhadap tujuh pertuduhan itu pada bulan depan, pada 28 Julai, 10 pagi,” katanya.

Pendakwa Raya yang dilantik Datuk V Sithambaram mengetuai pasukan pendakwaan, manakala peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan peguam bela Najib, 67.

Najib, yang menjadi perdana menteri keenam dari 2009 hingga 2018, ialah ketua negara Malaysia yang pertama dihadapkan ke mahkamah.

Perbicaraan bermula 3 April tahun lepas, dengan pihak pendakwaan memanggil 57 saksi untuk memberi keterangan.

Dalam perbicaraan itu, pihak pendakwaan mengemukakan lebih 750 eksibit atau barang kes termasuk dokumen bank berkaitan akaun bank Najib, dokumen transaksi tunai, minit mesyuarat dan perbualan di Blackberry Messenger berhubung transaksi akaun Najib.

Saksi berkenaan termasuk Pengurus Cawangan AmBank Jalan Raja Chulan R. Uma Devi, 40; bekas CEO Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) Azian Mohd Noh, 66; Tan Sri Ismee Ismail, 54, bekas anggota lembaga pengarah SRC; dan pengarah bukan eksekutif SRC Datuk Suboh Md Yassin, 68.

Lainnya bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, 67; bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu Ging Ping, 48; bekas Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, 67; dan pegawai penyiasat Rosli Husain, 54.

Mana bukti Najib pindah RM42 juta ke akaun peribadi?

KUALA LUMPUR – Sekali lagi ketika hujah penggulungan akhir kes pembelaan SRC International Sdn Bhd hari ini, pasukan pembelaan melontarkan persoalan mengapa tidak ada bukti penyewelengan dilakukan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pihak pendakwaan juga didakwa tidak dapat membuktikan Najib adalah dalang dalam melakukan transaksi dana RM42 juta milik SRC International ke dalam akaun peribadinya sehingga kini.

Wang sebanyak RM42 juta itu didakwa telah dimasukkan ke dalam akuan Najib antara Disember 2014 dan Februari 2015.

Menurut ketua pasukan bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, SRC International dan Ambank yang ‘mengendali’ akaun peribadi membiarkan ia tidak terurus sehingga ada pihak mengambil kesempatan.

Shafee menegaskan, bekas Perdana Menteri itu tidak lebih daripada mangsa konspirasi pihak yang dipercayainya.

“Pihak pendakwaan juga sehingga hari ini tidak dapat menyelesaikan keterangan bekas Pengarah SRC, Datuk Suboh Md Yassin yang tandatangannya untuk urusan perbankan sebenarnya palsu.

“Selain Suboh, tandatangan bekas Ketua Eksekutif SRC International, Nik Faisal Kamil dalam surat arahan perbankan untuk urus niaga juga kemungkinan palsu namun ianya tidak dapat diselesaikan oleh pendakwaan.

“Pendakwaan juga tidak dapat jelaskan mengapakah bank boleh menerima cek dengan membenarkan transaksi walaupun hanya diberikan tandatangan berbentuk soft copy yang sepatutnya tidak dibenarkan mengikut peraturan bank.

“Ini semua antara contoh yang saya boleh kemukakan kepada mahkamah bagaimana SRC mahupun urusan dengan bank begitu tidak terurus,” katanya di hadapan Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Tambah Shafee, ‘terang lagi bersuluh’ transaksi tersebut tidak sah dan salah kerana tidak dipersetujui sebagaimana yang dimuktamadkan dalam kontrak antara bank dan pelanggannya.

Jelasnya, kenyataan Nik Faisal yang dirakam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga mendedahkan bahawa dirinya tidak tahu menahu tentang transaksi RM42 juta.

“Jadi soalnya sekarang, siapakah yang melakukan transaksi itu?,” soal Shafee.

Najib berdepan tujuh pertuduhan berkaitan RM42 juta dana SRC International yang masuk ke dalam akaun banknya antara Disember 2014 dan Februari 2015.

Beliau didakwa dengan tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa. – MalaysiaGazette

Loading...

Leave a Reply