Portal berita terbaik anda

Politik

Kes rasuah Guan Eng boleh selesai sebelum PRU14 kalau…

Lim Kit Siang sekali lagi mendakwa “ditawarkan” dengan pengguguran tuduhan ke atas anaknya Lim Guan Eng jika beliau memutuskan hubungan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad serta mengakhiri usaha mengetepikan Datuk Seri Najib Razak.

Katanya tawaran itu diberikan kepadanya pada 2016 dan Najib ialah perdana menteri ketika itu.

Bercakap di Sydney Australia, Kit Siang berkata amalan sedemikian perlu selaras dengan usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) memulihkan keyakinan orang ramai kepada sistem perundangan negara.

Kit Siang bagaimanapun tidak mendedahkan siapa yang membuat tawaran itu.

“Pada masa lalu, ada perbualan meluas mengenai amalan yang boleh dilanggar apabila litigan (pihak membuat tuntutan di mahkamah), yang terlibat dalam kes besar boleh dihubungi oleh perantara dengan janji untuk menyelesaikan kes mereka dengan bayaran yang besar.

“Saya dah cakap sebelum ini yang saya (juga) telah menerima mesej pada 2016 dengan tawaran bahawa tuduhan rasuah Guan Eng akan gugur jika saya pastikan saya tidak bekerjasama dengan Dr Mahathir untuk membentuk satu pasukan menggulingkan Najib Razak sebagai perdana menteri.

“Amalan sedemikian yang menjejaskan kecekapan, kebebasan dan profesionalisme badan kehakiman dan sistem keadilan tidak boleh dibenarkan kembali ke Malaysia Baru,” katanya dalam acara yang dianjurkan oleh Bersih Sydney semalam.

Perlu bantuan rakyat Malaysia

Kali pertama Kit Siang membuat dakwaan itu ialah pada Mei lalu iaitu selepas PH memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Kit Siang mendakwa, tawaran itu berlaku pada akhir 2016 apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dipengerusikan Dr Mahathir menyertai PH.

Sebelum itu PH dianggotai PKR, DAP dan PAN.

“(Mereka berkata) kalau kamu tidak bekerjasama dengan Dr Mahathir Mohamad, tuduhan terhadap Guan Eng akan digugurkan.

“Bagi saya, tuduhan terhadap Guan Eng bukan hanya pendakwaan terpilih malah bersifat politik,” kata Kit Siang yang juga anggota Parlimen Iskandar Puteri.

Guan Eng, 56, yang menjadi ketua menteri Pulau Pinang ketika itu, menghadapi dua tuduhan rasuah berhubung mendapatkan keuntungan bagi dirinya dan isteri, Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan permohonan penukaran status tanah pertanian kepada kawasan perumahan awam di George Town.

Turut dituduh di mahkamah ialah seorang ahli perniagaan, Phang Li Khoon.

Bagaimananpun, kedua-dua tuduhan terhadap Guan Eng dan Phang ditarik balik oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang selepas Pejabat Peguam Negara mengkaji semula kes tersebut.

Sementara itu, Kit Siang melalui ucapannya menyeru rakyat Malaysia di luar negara membantu pembinaan semula Malaysia dengan penubuhan pergerakan sivil di seluruh dunia, seperti dilakukan BERSIH.

“Tugas besar membina sebuah Malaysia Baru tidak dapat dicapai dalam 100 hari atau lima bulan, tetapi akan mengambil masa satu atau dua dekad,” katanya.

Loading...

Leave a Reply