Kes pukul pekerja stesen minyak, polis tahan dua lelaki

0
3318

TAPAH – Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes pukul seorang pekerja stesen minyak di Sungkai dekat sini pada 6 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, suspek pertama berumur 40 tahun ditahan pada pukul 9.45 malam semalam di rumahnya di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

Menurutnya, lelaki berkenaan ditahan reman sehingga 21 Oktober ini.

Katanya, suspek kedua berumur 25 tahun ditahan pada pukul 4.15 petang tadi setelah menyerah diri di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah dan akan direman esok di Mahkamah Majistret Tapah.

“Kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya hari ini.

Dalam kejadian 6 Oktober lalu, seorang pekerja stesen minyak di Sungkai dipukul oleh pelanggan kerana dikatakan tersilap mengisi jenis minyak petrol.

Pekerja tersebut dikatakan tersilap kerana mengisi minyak RON 95 sedangkan pelanggan mahukan minyak RON 97.

Rakaman video kejadian itu tular dan dikongsi ramai pengguna laman sosial. – UTUSAN ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here