Kes Nur Aisyah: Polis rampas toto ada kesan darah

LANGKAWI – Polis merampas toto yang memiliki beberapa kesan titisan darah di rumah suspek kes kanak-kanak berusia tiga tahun yang ditemukan mati dalam keadaan menyayat hati di Kuarters Hospital Langkawi, di sini.

Ketua Polis daerah, Superintenden Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, toto tersebut berada di dalam sebuah bilik yang dipercayai menjadi tempat tidur kanak-kanak malang itu.

“Kita akan menghantar toto itu ke Jabatan Kimia bagi membolehkan proses analisa dilakukan supaya dapat mengetahui kesan darah itu milik siapa kerana kita tidak menolak ada unsur penderaan dalam kes ini.

“Malah, sampel darah kesemua penghuni di dalam rumah itu akan turut diambil termasuk lima anak kandung pasangan tersebut,” katanya ketika ditemui di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi, di sini.

Mayat Nur Aisyah Aleya Abdullah ditemukan di kawasan gaung Gunung Raya kira-kira pukul 11.30 pagi ini dengan hanya bahagian tengkorak kepala dipercayai milik mangsa ditemukan.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Iqbal berkata, pihaknya akan meneruskan pencarian di kawasan gaung tersebut esok bagi mencari cebisan anggota badan lain yang dipercayai dilarikan binatang liar.

“Kita akan meluaskan radius pencarian di kawasan itu, namun lokasi tersebut amat sukar kerana faktor kedalaman cerun di gunung itu yang terlalu curam.

“Pada masa sama, kita akan merakam percakapan kesemua anak mangsa,” ujarnya lagi. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *