Portal berita terbaik anda

Utama

Kes denggi di Terengganu naik 100 peratus

KUALA TERENGGANU – Jumlah kumulatif kes denggi di Terengganu sehingga 31 Julai lalu meningkat dengan merekodkan sebanyak 392 kes berbanding 196 kes dalam tempoh sama pada 2018.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Mohd Jusoh berkata, jumlah yang direkodkan itu menunjukkan peningkatan 100 peratus (196 kes) dengan satu kematian direkodkan di Kemaman.

“Semua daerah menunjukkan peningkatan kes kecuali daerah Besut yang menunjukkan penurunan kes.

“Bagi wabak denggi pula, sebanyak sembilan episod wabak di seluruh negeri dilaporkan berbanding sepuluh episod wabak yang berlaku dalam tempoh sama pada 2018.

“Sebanyak empat episod wabak direkodkan di Marang, tiga di Kuala Terengganu dan dua lagi di Kuala Nerus. Bagaimanapun, tiada wabak aktif di Terengganu buat masa ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mohd turut mengingatkan orang ramai supaya menjalankan langkah pencegahan bagi mengelakkan gigitan nyamuk Aedes.

“Sempena cuti persekolahan dan cuti perayaan yang akan datang, dikhuatiri pergerakan masyarakat dari luar semakin meningkat dan semua individu diminta untuk bersama-sama menjalankan langkah pencegahan bagi mengelakkan gigitan nyamuk aedes.

“Semua pihak perlu menghapuskan tempat pembiakan aedes dengan melaksanakan aktiviti pembersihan di rumah dan kawasan tempat tinggal masing-masing di dalam dan luar bangunan serta lokasi tumpuan masyarakat seperti balai raya, dewan komuniti dan tempat ibadat,” katanya.

Beliau turut menggesa supaya sampah sarap dibuang di tempat yang disediakan bagi membanteras penularan wabak denggi.

Tambahnya, individu yang mempunyai gejala denggi seperti demam, sakit badan, sakit sendi dan gejala lain pula perlu segera ke fasiliti kesihatan terdekat untuk mendapatkan rawatan.

Selain itu, katanya, individu yang ingin melakukan aktiviti luar semasa waktu puncak gigitan aedes iaitu dari jam 5 pagi hingga 8 pagi dan 5 petang hingga 8 malam, disarankan memakai pakaian cerah dan berlengan panjang serta menggunakan penghalau nyamuk.

“Jika ada sebarang kemusykilan, sila dapatkan maklumat berkaitan dari kemudahan kesihatan berhampiran atau laman web Kementerian Kesihatan Malaysia di http://www.moh.gov.my.

“Bagi mendapatkan maklumat berkenaan wabak denggi terkini, boleh layari laman sesawang http://idengue.remotesensing.gov.my,” katanya.

Loading...

Leave a Reply