Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Jenayah

Kes bunuh Masyitah: Polis tahan lelaki warga asing

POLIS hari ini mengesahkan lelaki sudah ditahan 30 Januari lalu bagi membantu siasatan berhubung kehilangan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di Kampung Tanjung Medang Hilir, Pekan.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Amran Sidek, berkata, suspek kini ditahan reman 14 hari bagi membantu siasatan pihaknya.

Katanya, lelaki yang ditahan itu direman mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Difahamkan suspek berusia 23 tahun itu adalah lelaki warga asing dan dipercayai mengenali keluarga mangsa.

“Kanak-kanak berkenaan kali terakhir dilihat pada 30 Januari lalu menaiki motosikal bersama seorang lelaki. Lelaki tersebut sudah dikenal pasti dan sudah ditahan bagi membantu siasatan.

“Sama ada mayat yang ditemui adalah mangsa yang hilang sebelum ini belum dapat disahkan sehingga laporan keputusan bedah siasat diperolehi dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) diperoleh,” katanya dalam kenyataan media di Pekan, hari ini.

Harian Metro hari ini, melaporkan mayat Siti Masyitah Ibrahim, 11, ditemui dalam keadaan tragis selepas hilang selama 11 hari di ladang kelapa sawit Kampung Tanjung Medang Hilir, Pekan.

Kanak-kanak itu dilaporkan hilang pada 30 Januari lalu sebelum ditemui kira-kira 5 petang semalam oleh penduduk kampung.

Ketika ditemui, mayatnya dalam keadaan terpisah dari kepala dan sudah reput selain tidak berseluar.

Ibu mangsa, Zaleha Abdullah, 35, mendakwa mayat anaknya turut ditemui dalam tangan berikat selain beberapa organ badan tidak dijumpai.

Sementara itu Amran berkata, mayat sudah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan dan akan menjalani proses bedah siasat pada jam 10 pagi esok.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén