Kes bunuh CEO Cradle Fund: Adik ipar dan suami direman

0
1910

PETALING JAYA – Sepasang suami isteri direman empat hari bemula hari ini bagi membantu siasatan kes kematian Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle Fund), Nazrin Hassan akibat kebakaran di rumahnya, Jun lalu.

Suspek-suspek yang direman itu merupakan adik ipar perempuan Nazrin dan suaminya.

Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Hairol Azhar Mohd. Ishak membenarkan tempoh reman sehingga Khamis ini terhadap kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 39 dan 41 tahun.

Siasatan terhadap mereka dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika disabit kesalahan.

Terdahulu, mereka tiba di mahkamah dengan berbaju lokap berwarna jingga pada pukul 11 pagi kemudian diiiringi anggota polis keluar dari bilik reman kira-kira pada pukul 1.40 petang.

Pada 3 Ogos lalu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat telah mengklasifikasikan semula kes kematian Nazrin sebagai kes bunuh.

Pada 14 Jun lepas, Nazrin dilapor meninggal dunia dipercayai berpunca daripada terhidu asap selepas kebakaran berlaku ekoran telefon bimbitnya yang meletup semasa mengecas di bilik tidurnya yang terletak di tingkat atas kediamannya di Mutiara Damansara, di sini. – UTUSAN ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here