Portal berita terbaik anda

Utama

Keropok Terengganu dijemur pada musim panas lebih sedap?

KUALA TERENGGANU — Kehadiran cuaca panas ketika ini membawa rahmat buat pengusaha keropok keping malah ia memberi peluang mereka meningkatkan produktiviti pengeluaran makanan tradisonal itu.

Jika sebelum ini mereka hanya mampu menghasilkan 40 kilogram (kg) keropok sahaja, namun kini pengeluaran mampu mencecah melebihi 60 kg dalam tempoh kurang lapan jam.

Tinjauan Bernama di Kampung Pengkalan Setar di sini mendapati kebanyakan pengusaha keropok keping mula menjemurnya sekitar 7.30 pagi dan keropok itu akan kering sepenuhnya pada pukul 2.30 atau 3 petang.

Seorang pengusaha, Rosema Hamzah, 47, berkata pembuatan keropok keping tidaklah begitu cerewet namun ia memerlukan cuaca panas yang panjang bagi memastikan keropok keping tidak mudah berkulat.

“Sepanjang musim tengkujuh lalu, kami mengambil masa dua atau tiga hari untuk menjemur namun pada musim panas ini, hanya tujuh atau lapan jam sahaja diperlukan untuk menghasilkan keropok keping yang berkualiti tinggi.

Setiap hari, kami menjemur lebih 60 kg keropok keping kerana pada musim panas inilah kami dapat menyimpan stok untuk dijual pada musim tengkujuh nanti,” katanya yang mempunyai lapan orang pekerja bagi menghasilkan keropok keping jenama ‘Kak Tie’.

Katanya, sebelum proses pembungkusan, keropok keping perlu kering dengan sebaiknya tanpa ditumbuhi kulat bagi memastikan ia tahan lama dan enak sebelum digoreng.

Seorang lagi pengusaha, Tengku Hairul Tengku Muhammad, 42, berkata cuaca panas dan kering adalah waktu yang ditunggu-tunggu oleh pengusaha keropok keping kerana hasil jemurannya adalah yang terbaik berbanding jemuran pada waktu lain.

“Sepanjang musim panas ini, kami dapat mempercepatkan proses pembungkusan dengan sebanyak mungkin, malah permintaan dari pemborong juga meningkat kerana mereka mahukan keropok keping hasil jemuran musim panas.

“Boleh dikatakan musim panas seperti ini adalah waktu pengeluaran maksimum kami memandangkan kami langsung tidak beroperasi pada musim tengkujuh kerana faktor hujan setiap hari,” katanya yang mula menjalankan perniagaan itu sejak 10 tahun lalu.

Terdapat kira-kira 100 pengusaha keropok keping di dalam Kampung Pengkalan Setar pada masa ini. — Bernama

Loading...

Leave a Reply