Portal berita terbaik anda

Politik

Kerjasama UMNO-Pas buka ruang PH kuasai Pantai Timur – Rafizi

KUALA TERENGGANU – Kerjasama kian akrab antara UMNO dengan Pas diyakini akan membuka ruang baharu kepada Pakatan Harapan khususnya PKR untuk menguasai seluruh Pantai Timur dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, berdasarkan kaji selidik, senario itu akan mengubah pola politik terutama di Kelantan dan Terengganu untuk rakyatnya membuat pilihan dengan mengundi PKR kerana pengundi Melayu tidak begitu `senang’ atau selesa dengan kerjasama UMNO-Pas.

“Dinamis politik berubah dengan cepat dan saya jangka UMNO dan Pas akan jadi lebih rapat, besar kemungkinan akan ada kerjasama rasmi. Apabila ada (kerjasama rasmi), ia akan ubah pola politik terutama di Kelantan dan Terengganu kerana ia tak pernah berlaku sebelum ini.

“Jadi kita kena semak balik pemahaman kita bagaimana pengundi di dua negeri itu buat pilihan politik. Sebab itu saya jangka kalau itu berterusan akan ada satu peralihan undi yang secara automatik ke arah pakatan kerana akan ada kalangan UMNO dan Pas kurang selesa, begitu juga (kurang selesa) sebahagian besar pengundi atas pagar,” katanya.

Rafizi menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas program Reformasi 20 Tahun di sebuah hotel di sini malam tadi dalam siri jelajah menjelang pemilihan parti itu di mana beliau sendiri akan bertanding Timbalan Presiden PKR pada 14 September ini.

Terdahulu itu, ketika berucap, Rafizi mengulas perkara sama bahawa senario politik sekarang ini sudah berbeza di mana rakyat Kelantan dan Terengganu akan memilih PKR dengan meletakkan tanggungjawab kepada PKR sebagai tunjang dalam PH.

“Dulu (di Terengganu dan Kelantan), Pas lawan UMNO dan rakyat akan pilih yang mana satu. Tapi sekarang sudah lain. Mula-mula `risik’, kemudian `bertunang dan bersanding’. Selepas ini kerjasama Pas dengan UMNO akan ada `anak’ pula.

“Dengan ini, orang Terengganu (dan Kelantan) akan pening, mereka nak undi yang mana. Sebab itulah dalam PRU akan datang di Terengganu dan Kelantan, mereka akan berdepan senario politik berbeza kerana orang yang jiwa serta tradisinya tak mahu undi parti sedia ada, dia akan pusing sebab nak undi UMNO atau Pas, mereka dah tak suka,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Loading...

Leave a Reply