Portal berita terbaik anda

Politik

‘Kerana kebodohan saya, harga Equanimity jatuh teruk’ – Guan Eng

Menteri Kewangan Lim Guan Eng pasrah beliau hanya mampu menunaikan separuh daripada janjinya berhubung kapal layar mewah, Equanimity untuk mengekalkan nilainya apabila kerajaan menjualnya.

“Saya tidak pernah memiliki kapal layar sebelum ini, jadi saya tidak tahu bahawa apabila kita mempamerkannya, harga akan jatuh lebih daripada separuh … kerana mereka (pembeli berpotensi) mahukan eksklusiviti.

“Jadi, harap faham, saya telah menunaikan separuh daripada janji, saya telah membawa pulang kapal layar itu,” kata Lim dalam temu bual dengan Malaysiakini di pejabatnya di Putrajaya minggu lalu.

Adalah dilaporkan sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bahawa Lim berjanji untuk membawa pulang Equanimity dan rakyat Pulau Pinang boleh melawat kapal layar bernilai RM1 bilion itu jika Pakatan Harapan (PH) menawan Putrajaya.

Beberapa bulan selepas PH membentuk kerajaan persekutuan pada bulan Mei, Equanimity dikembalikan ke Malaysia dari Indonesia pada 7 Ogos.

Walau bagaimanapun, kapal layar itu, yang dikatakan dimiliki oleh tokoh perniagaan kontroversi yang kini menjadi buruan, Jho Low, sekarang tidak dibuka kepada orang ramai.

Memandangkan ia kini di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, seseorang perlu memperolehi perintah mahkamah sebelum dibenarkan masuk ke kapal itu.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang melawat Equanimity pada 11 Ogos juga berkata kerajaan tidak mempunyai rancangan untuk mempamerkannya kerana pada akhirnya, bercadang untuk menjual kapal itu.

Menurut Dr Mahathir, kapal layar itu perlu kekal dalam keadaan baik jika mahu dijual pada harga yang tinggi manakala kehadiran “ribuan orang” untuk melihat Equanimity boleh merosakkannya.

Equanimity pertama kali dirampas oleh pihak berkuasa Indonesia pada 28 Februari.

Loading...

Leave a Reply