Portal berita terbaik anda

Utama

‘Sudah tiba masanya PH mengaku gagal tunai manifesto’ – Kit Siang

KUALA LUMPUR – Kini masanya untuk Pakatan Harapan (PH) menilai semula manifesto dan janji-janji PH dalam PRU14 yang lepas, ujar Timbalan Pengerusi Kaukus, Reformasi dan Tadbir Urus Dewan Rakyat, Lim Kit Siang.

Jelas beliau, kerajaan perlu mengakui kepada rakyat bahawa penilaian semula perlu dilakukan terutama terhadap janji-janji yang belum ditunaikan.

“Berikan PH ruang untuk berterus-terang dengan rakyat Malaysia dan mengakui, kalau ada, yang sesetengah janji yang dibuat itu adalah hampir mustahil untuk dilaksanakan dan saya percaya rakyat Malaysia akan menghargai usaha ini daripada kita cuba untuk menyembunyikannya.

“Marilah juga kita menilai dan menyemak kembali, mana-mana janji yang kita tidak berjaya tunaikan dalam masa 100 hari atau pun dalam tahun pertama dan kita yakinkan rakyat Malaysia yang kita kini berada dalam hala tuju yang tepat untuk membina Malaysia Baharu,” katanya semasa berucap pada Simposium Ekonomi Malaysia: Kini dan Masa Depan” di Dewan Persidangan di Parlimen pada Jumaat.

Bagaimanapun, lima tunggak utama yang dijanjikan dalam Manifesto PRU14 Pakatan Harapan kekal menjadi panduan.

“Lima tunggak utama ini adalah meringankan beban rakyat reformasi institusi dan politik, menjana pembangunan yang mampan dan saksama, pemulihan taraf Sabah dan Sarawak seperti mana yang diperuntukan dalam Perjanjian Malaysia 1963, dan mencipta satu Malaysia Baharu yang inklusif, moderat, dan dipandang tinggi di mata dunia,” jelas Kit Siang lagi.

Tambah beliau, satu penilaian semula secara menyeluruh terhadap manifesto PH untuk menambah keyakinan rakyat bertambah penting dengan penurunan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

“Ini kerana untuk memenangi hati golongan muda, kita mestilah bersikap berterus-terang dengan mereka mengenai matlamat kita untuk suatu Malaysia dimana kemakmuran dikongsi bersama sambil menggalas sokongan mereka dengan idealisme dan visi kita,” ujar beliau.

Loading...

Leave a Reply