Portal berita terbaik anda

Utama

Kerajaan PH henti pemberian geran percuma untuk usahawan Bumiputera

KERAJAAN tidak lagi memberi geran percuma kerana tidak mahu usahawan terlalu bergantung kepada bantuan itu, kata Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Md Yusof.

Beliau berkata kebanyakan usahawan Bumiputera hanya mengharapkan bantuan kerajaan tapi tidak mempunyai ilmu dan daya ketahanan untuk menceburi perniagaan.

“Usahawan sekarang ini lebih kepada mahu dibantu saja contoh mereka mahukan kemudahan. Saya boleh bagi RM50 juta, RM100 juta (modal).

“Tapi persoalannya bolehkan perniagaan itu bertahan, kerana apa kita lihat sebaliknya (kecundang),” katanya dalam satu wawancara ekslusif bersama The Malaysian Insight.

Bagaimanapun tidak semua pemberian geran usahawan Bumiputera dihentikan kerana kerajaan masih memberi geran padanan melalui agensi bawah kementeriannya.

Kerajaan juga masih meneruskan pemberian geran dalam kategori penyelidikan dan pembangunan yang dapat memberi manfaat kepada usahawan, tambahnya.

“Tapi untuk geran mulakan perniagaan yang dulu diberikan secara percuma tidak ada lagi sebab kita nak jauhkan mentaliti mereka ini tidak terlalu bertongkat dengan kerajaan,” katanya.

Langkah itu merupakan antara usaha mengekang amalan ali baba melalui pelaksanaan Akta Sabotaj Ekonomi yang dicadangkan dalam Kongres Nasional Bumiputera tahun lalu.

Ia dibangkitkan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Abu Kassim Mohamed dalam persidangan itu.

Mengulas lanjut, Redzuan berkata usahawan itu tidak harus dipersalahkan sepenuhnya atas sikap golongan itu yang bergantung seratus peratus kepada kerajaan.

Jelasnya, kelemahan pentadbiran lalu juga membawa kepada kelahiran ramai usahawan ali baba dan yang hanya mengambil untung atas angin.

Kelemahan rantaian dari sudut tenaga kerja, kepakaran dan bahan juga menyebabkan ada pihak mengambil kesempatan menjadi usahawan ali baba, katanya.

“Sebab itu mereka jadi ali baba, mereka nak kerja senang, sebab rantaian tak kuat jadi mereka bagi pada orang lain,” katanya.

Untuk menanganinya, kementeriannya akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk merangka undang-undang khas.

Perkara itu juga dibangkitkan Abu Kassim dalam Kongres Usahawan Bumiputera lalu masih diteliti dan masih dalam peringkat awal.

Tambah Redzuan, kementeriannya juga merangka Dasar Keusahawanan Nasional 2030 untuk menetapkan hala tuju usahawan Bumiputera.

“DKN menggariskan enam teras, 19 strategi dan 62 insitiaf hasil dari dalam tempoh setahun maklum balas yang kita dapat dari usahawan.

“Jadi kita harap dengan inisiatif tersebut kita dapat menyediakan usahawan bumiputera ini lebih berdaya saing dan terbuka dengan idea baru,” katanya.

Seramai 44,741 orang kontraktor mempunyai Sijil Taraf Bumiputera (STB) sehingga Julai 2019. – 23 Ogos, 2019.

Loading...

Leave a Reply