Kerajaan lulus dana RM20 juta bagi projek kereta nasional ketiga

Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) telah meluluskan dana bernilai hampir RM20 juta untuk menarik minat pelabur swasta bagi membangunkan prototaip kereta nasional ketiga.

Menterinya Mohd Redzuan Yusof berkata dana itu diperoleh daripada beberapa geran sedia ada untuk memangkinkan pembangunan projek kereta nasional berkenaan.

“Ideanya ialah kita menjadi pemangkin kepada projek kereta nasional baharu itu.

“Saya tidak membangunkan projek kereta nasional yang ketiga, saya memudahkan untuk mewujudkan persekitaran bagi projek kereta nasional baharu itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Lestari: Inisiatif Pemerkasaan Keusahawanan Bumiputera, semalam.

Katanya kementerian juga telah menyenarai pendek beberapa vendor untuk membangunkan prototaip kereta nasional itu.

Sementara itu, Mohd Redzuan berkata kerajaan akan melancarkan program yang menggantikan Skim Latihan 1Malaysia secara rasmi selewat-lewatnya bulan depan.

Katanya program baharu itu diberi nama Professional Training and Education for Graduating Entrepreneurs atau Protege.

“Kami telah memulakan program baharu itu tetapi kami belum melancarkannya secara rasmi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Redzuan membayangkan pengembangan skop kementeriannya bagi merangkumi skop pelaburan dan perdagangan.

Katanya cadangan tersebut telah disampaikan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang telah memberikan respons positif.

“Bagi saya, pembangunan usahawan tidak lengkap tanpa pelaburan dan perdagangan,” katanya.

Program Lestari merupakan kerjasama antara MED dan Petronas untuk memantapkan usaha pembangunan usahawan Bumiputera dalam kalangan syarikat vendor Petronas.

– Bernama

Loading...
Published
Categorized as Utama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *