Portal berita terbaik anda

Utama

Kerajaan iktiraf UEC hanya untuk pengambilan ke IPG sahaja – Maszlee

KUALA LUMPUR: Pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) oleh kerajaan hanya terpakai untuk pengambilan kursus ke kampus Institut Pendidikan Guru (IPG).

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, ketika menegaskan perkara itu, berkata langkah mengiktiraf UEC berkenaan bukan perkara baharu, sebaliknya menjadi dasar kerajaan sejak tujuh tahun lalu.

“Isu iklan ini berkaitan pengambilan ke institut IPG dan ia dimulakan sejak 2012 lagi. Saya berterima kasih kepada Rembau (Khairy Jamaluddin) kerana mengemukakannya di Twitter beliau.

“Beliau mengatakan ini bukan isu politik,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Maszlee berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) mengenai sama ada kerajaan mengiktiraf UEC kerana mendakwa beberapa iklan memberi gambaran pengambilan ke universiti awam (UA) boleh menggunakan sijil berkenaan.

Maszlee berkata, Pasukan Petugas Dasar Sijil Peperiksaan Bersepadu (PPDUEC) ditubuhkan bagi memperhalusi keperluan mengiktiraf sijil itu dengan merangka laporan sebelum dibentangkan ke Kabinet.

“Mereka (PPDUEC) masih dalam proses libat urus, menganjurkan kegiatan dan berkomunikasi dengan semua pihak, maka belum ada keputusan dibuat. Sebarang keputusan akan dibuat di Kabinet,” katanya.

Menjawab soalan asal Steven Choong Shiau (PH-Tebrau) sama ada kerajaan akan kaji semula Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang melaksanakan dasar diskriminasi pendidikan bahasa ibunda, Maszlee berkata tanggapan sedemikian tidak berasas.

Beliau sebaliknya menegaskan, kementerian tidak pernah melaksanakan dasar diskriminasi pendidikan mana-mana bahasa ibunda.

“Kita sentiasa memastikan mata pelajaran bahasa ibunda dikemas kini dalam aspek kurikulum, bahan bantu belajar serta kaedah pengajaran dan pembelajaran.

“Pelaksanaan ini selari saranan PPPM 2013-2025 supaya murid menamatkan persekolahan dengan menguasai sekurang-kurangnya tiga bahasa bagi membolehkan mereka berkomunikasi secara berkesan dan mampu bersaing pada peringkat global,” katanya.

Loading...

Leave a Reply