Kerajaan kaji cadangan hasilkan wang ringgit baharu

0
2552

BANGI – Kerajaan sedia mengkaji untuk menukar mata wang kertas sebagai satu usaha memerangi rasuah, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sambil menyatakan pada masa ini tiada keperluan untuk mengikat ringgit, beliau berkata, kerajaan sedang mengkaji cara terbaik untuk mengurangkan rasuah, dan cara untuk menjejaki wang yang dibelanjakan, terutama oleh kerajaan.

“Ini bukan perkara yang mudah kerana apabila anda ingin mengganti mata wang, anda mesti tahu berapa banyak mata wang dalam edaran … kerana kita perlu menggantikan apa yang ada dalam edaran dan ia adalah satu jumlah yang sangat besar.

“Jika anda menggantikannya, anda perlu mencetak wang kertas dengan banyak dan ianya bukan keputusan yang mudah untuk dibuat. Anda perlu mengkaji kesannya kepada ekonomi.

“Buat masa ini ringgit tidak perlu diikat. Tetapi kita perlu juga mengkajinya. Itu adalah salah satu pilihan yang kita ada,” katanya dalam wawancara eksklusif dengan Channel NewsAsia, semalam.

Pagi ini, Bernama melaporkan ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS susulan tekanan berterusan ke atas mata wang tempatan itu. Pada jam 9 pagi, ringgit disebut harga pada 4.0240/0280 berbanding dolar daripada 4.0210/0250 yang direkdokan pada penutupan semalam.

Berbanding dolar Singapura, ringgit susut kepada 2.9534/9581 daripada 2.9523/9569 dan berbanding pound British, ringgit susut kepada 5.3229/3290 daripada 5.3198/3267. Ringgit juga rendah berbanding euro kepada 4.6892/6954 daripada 4.6881/6936.

Ketika kemuncak krisis kewangan Asia pada 1998, Dr Mahathir bertindak mengikat ringgit kepada dolar AS, satu langkah mengejut bertujuan menstabilkan ekonomi negara.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, kerajaan bagaimanapun, tidak menetapkan tempoh tertentu untuk membuat keputusan menukar mata wang kertas ringgit, tetapi akan melaksanakan apa juga yang terbaik untuk Malaysia.

Dalam wawancara itu, beliau juga berpendapat Datuk Seri Najib Razak mungkin ‘tidak sempat’ menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, kerana menjangkakan bekas Perdana Menteri itu akan didakwa atas penyelewengan, rasuah dan ‘banyak perkara lain’.

Dalam temu bual itu, Dr Mahathir bercakap mengenai nasib yang menunggu Najib sekarang dan kerajaan yang berkuasa sekarang menyokong siasatan terhadap syarikat kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ditanya jika Najib akan ada untuk PRU akan datang yang diadakan lima tahun sekali, Dr Mahathir berkata, beliau tidak fikir begitu.

“Saya fikir apa sahaja, keputusan (untuk mendakwa Najib) perlu dilakukan sekarang. Kes itu adalah jelas. Jadi, rakyat tidak akan berkata, kita menganiaya lelaki ini. Mereka tahu salah laku yang dilakukan (Najib). Mereka hanya bimbang dia akan terlepas. Peguam yang bagus akan membebaskannya.

“Berlaku kehilangan wang dengan jumlah yang besar dan kemudian kemunculan wang dalam akaun peribadinya. Semua ini menjurus ke arah pelakuan jenayah… tetapi dari sudut lain, jika anda hendak ke mahkamah, anda mesti menyediakan bukti, dan setiap langkah yang kukuh,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here