Portal berita terbaik anda

Utama

Kerajaan akan kaji cadangan tingkat had umur persaraan

IPOH – Kerajaan sedia meneliti cadangan menaikkan had umur bersara pekerja daripada 60 kepada 65 tahun seperti di beberapa negara maju.

Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran berkata, dalam masa sama, turut diperhalusi ialah cadangan supaya kerajaan memperkenalkan pemberian elaun kos sara hidup (COLA) bulanan sebanyak RM500.

Menurutnya, kedua-dua cadangan itu antara perkara yang telah dibincangkan kementeriannya dengan Kementerian Kewangan baru-baru ini.

Beliau berkata, kementeriannya telah memberikan pandangan mengenai dua cadangan itu kepada Kementerian Kewangan yang akan memperhalusinya sebelum membuat keputusan mengenainya.

“Perbincangan mengenainya masih di peringkat awal dan kerajaan akan memperhalusinya sebelum membuat keputusan.

“Sekarang had umur persaraan 60 tahun dan di Singapura sudah dinaikkan kepada 65 tahun. Cadangan ini boleh diperhalusi dan kerajaan akan membuat keputusan yang baik pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Kempen Menanam Pokok di sini hari ini.

Semalam, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan memperkenalkan pemberian elaun kos sara hidup (COLA) bulanan sebanyak RM500 atau lebih kepada pekerja menerusi Bajet 2020.

Selain itu, MTUC juga mencadangkan kerajaan meningkatkan had umur persaraan mandatori kepada 65 tahun.- UTUSAN ONLINE

Loading...

Leave a Reply