Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Politik

Kenang jasa Anwar, kata Akmal Nasir pada perwakilan

Susulan pertembungan dua kem antara Presiden PKR dan Timbalan Presiden parti, Ketua Pemuda PKR (AMK) Akmal Nasir hari ini menyeru pemuda supaya mengenang jasa Anwar Ibrahim yang telah berkorban untuk parti sejak 20 tahun lalu.

“Pengalaman 20 tahun Reformasi sepatutnya menjadi asas dan roh kekuatan AMK.

“Perjuangan dan pengorbanan bukanlah untuk mengejar habuan atau pangkat, tetapi mahu merubah masa depan negara.

“Masakan kita boleh lupa jasa presiden kita, saudara Anwar Ibrahim yang meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segalanya.

“Beliau dizalimi, dianiayai dan dikhianati, prinsip perjuangan diteruskan,” katanya dalam penyampaian ucapan dasar kongres nasional tahunan AMK di MITC Ayer Keroh, Melaka hari ini.

Meskipun ucapannya pada awalnya terganggu dengan kekecohan daripada perwakilan yang tidak dibenarkan memasuki dewan hari ini disebabkan ketiadaan pas masuk, beliau tidak lama kemudian kembali meneruskan ucapannya selepas kira-kira dua minit kekecohan tersebut berlaku.

Hapuskan PTPTN

Dalam ucapan dasarnya, ahli parlimen Johor Bharu turut menggesa supaya pinjaman pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dimansuhkan dan menggantikannya dengan kaedah yang lebih mampan dan holistik.

“Maka disini, saya menyeru kepada AMK untuk kita bersama-sama memastikan PTPTN peninggalan BN dimansuhkan dan digantikan dengan cara yang lebih holistik dan sustainable.

“Kita perlu kekal dengan prinsip ini, jangan kecewakan rakyat di luar sana.

“Masalahnya, graduan bukan sahaja terbeban dengan hutang, tetapi juga pendapatan yang rendah.

“Hakikatnya, 68 peratus daripada peminjam PTPTN masih lagi berpendapatan rendah,” katanya.

Dalam manifesto sebelum PRU ke-14, PH berjanji untuk menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang mendapat gaji kurang dari RM4,000 sebulan dan memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam.

Namun sebelum ini, PTPTN berkata pihaknya sedang meneliti beberapa cadangan untuk mengutip baki pinjaman pendidikan.

Ia termasuklah cadangan menyekat peminjam daripada memperbaharui pasport, lesen, cukai jalan dan lesen perniagaan kepada kabinet.

Akmal juga pada masa sama, berkata pihaknya telah menyahut seruan kerajaan untuk mengurangkan beban kos sara hidup di kampus dengan pelaksanaan program foodbank.

Namun beliau berpendapat program tersebut tidak perlu diperbaiki memandangkan penyelesaian sebenar adalah dengan mencari penyelesaian pokok terlebih dahulu.

“Ini semua penyelesaian runcit atau piecemeal solution. Sementara kita cari jalan perbaiki pentadbiran, kita kena jujur untuk mengubah dasar atau perkara pokok,” katanya.

Loading...

1 Comment

  1. Bekas AMK

    Ini Ketua AMK yang parking bodoh. Anwar merengkuk dalam penjara di Universiti Sg.Buluh bila masa pulak dia berjuang dan berjasa untuk PKR?. Kalau keys peribadi Anwar memang tak habis-habis dari dulu hingga kes Yussuf Rawther. Nak bercakap tu jangan lalap sangat menjilat.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén