Portal berita terbaik anda

Utama

‘Kenal waktu singkat, bergelar isteri juga singkat’

KUALA NERANG – Isteri kepada pekerja sub kontrak Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang meninggal dunia akibat melecur selepas kotak fius elektrik meletup, mengabadikan kenangan terindah bersama suami tercinta, Allahyarham Mohd Zulfaiz Abdul Wahab, 27, dalam satu rakaman video.

Che Siti Ainsyah Che Mahmud, 21, memuat naik video berdurasi seminit itu bagi mengimbas kembali saat indah pasangan itu diijab kabul pada 25 Ogos lalu.

Walaupun hanya sempat bergelar isteri lebih sebulan, dan dijadual bertandang ke rumah mertua, di Kampung Kubang Palas pada 13 Oktober depan, namun dia reda dengan ketentuan Allah SWT.

Che Siti Ainsyah turut bersyukur kerana diberi kesempatan Illahi untuk bergelar isteri walaupun seketika.

“Alhamdullilah.. genaplah sebulan ikatan kita bertaut suci kerana Allah SWT. Pada 21 September, kali kedua selepas berkahwin, baru dapat tengok Abang. Betapa terkejut sayunya saat itu Abang terlantar berbalut di situ (hospital),” antara catatan yang dimuat naik di laman Facebook miliknya, pada 25 September lalu.

Ketika itu Allahyarham Mohd Zulfaiz sedang bertarung nyawa di Unit Kecemasan dan Trauma (ICU), Hospital Pulau Pinang (HPP).

Che Siti Ainsyah berkata, setelah selesai majlis perkahwinan di rumah keluarganya di Gua Musang, Kelantan, Allahyarham terpaksa meninggalkannya kerana mendapat kerja di Pulau Pinang.

“Hari keempat selepas bernikah, kami terpaksa berpisah atas tuntutan kerja masing-masing kerana saya bekerja di Gua Musang. Yang sedihnya, pertemuan kali kedua selepas nikah adalah di wad ICU melihat tubuhnya berbalut kain putih akibat melecur,” katanya.

Menurutnya, walaupun 11 hari bersengkang mata menjaga Allahyarham, namun ia antara kenangan terakhir dan bersyukur diberi kesempatan sentiasa di sisi Allahyarham sehingga menghembuskan nafas terakhir.

“Setahun lalu, saya kehilangan emak tersayang, hanya ayah yang menjadi kekuatan kepada saya selepas ini,” kata anak ke-enam daripada lapan beradik ini.

Gadis berketurunan Pattani, Thailand ini turut berkongsi sikap Allahyarham yang disifatkan seorang yang bertanggung jawab.

“Perkenalan kami amat singkat sebelum membuat keputusan berkahwin. Kami saling mengenali awal Januari lalu, tak sangka Allahyarham hantar rombongan meminang pada April, selepas saya katakan, jika benar-benar berminat mahu memperisterikan saya, datanglah jumpa keluarga,” katanya.

Che Siti Ainsyah berkata, dirinya reda dapat mengenali suaminya walaupun mengecapi kebahagiaan itu dalam tempoh singkat.

“Kenal dalam waktu singkat, bertunang juga singkat, bergelar isteri juga tidak lama, namun saya bersyukur dengan perancangan Allah SWT,” katanya.

Allahyarham Mohd Zulfaiz meninggal dunia pada 3.17 petang kelmarin, setelah menerima rawatan di HPP kerana melecur sehingga menyebabkan kerosakan teruk pada organ dalaman.

Pada 21 September lalu, Sinar Harian Online melaporkan mangsa melecur kedua-dua belah tangan, muka, badan dan kedua-dua pahanya selepas kotak fius elektrik di Pangsapuri Kejora, meletup.

Ketika kejadian, mangsa sedang memeriksa kekuatan pengagihan bekalan tenaga elektrik di kawasan sekitar.

Loading...

Leave a Reply