Portal berita terbaik anda

Politik

Kenakan cukai terhadap orang kaya undang kesan negatif

Kerajaan khuatir bahawa pelaksanaan cukai kekayaan, warisan dan keuntungan modal bakal mencetuskan kejutan terhadap pasaran modal dan kedudukan kewangan negara dan mengundang pelbagai kesan negatif.

Atas sebab itu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, kerajaan tidak mempertimbangkan melaksanakan cukai itu sekarang.

“Cadangan itu tidak diberi keutamaan oleh jawatankuasa (reformasi cukai).

“Selepas mendapat maklum balas beberapa pihak seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti dan Kementerian Kewangan, wujud kebimbangan pulangan akan diterima kerajaan tidak seimbang susulan kesan negatif terhadap pasaran modal dan kedudukan kewangan negara (jika cukai seperti itu dilaksanakan),” kata Lim pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang), yang mempersoalkan mengapa kerajaan seakan ‘liat’ dan takut untuk mengenakan cukai terhadap golongan yang disifatkan ‘ultra kaya’ di Malaysia seperti dituntut pelbagai pihak untuk dibentangkan dalam Belanjawan 2019.

Lim menjelaskan bahawa Malaysia sedang berdepan cabaran situasi fiskal pada masa ini dan mengenakan cukai seperti itu akan mengejutkan pasaran modal.

Katanya, faktor lain yang perlu dipertimbangkan dalam sistem percukaian ialah kemampuan daya saing Malaysia berbanding negara jiran di rantau ini.

“(Negara) jiran kita tiada cukai keuntungan modal untuk saham, justeru kita jangan terlalu ghairah dan kejutkan sistem (pasaran modal dan kedudukan kewangan) secara keseluruhan.

“Itu sebabnya usaha pemulihan defisit fiskal juga kita tetapkan untuk mengambil masa selama tiga tahun, bukan serta-merta kerana dikhuatiri akan mengejutkan sistem.

“Kalau sistem dalam keadaan kejutan, ia akan menjejaskan pemulihan kewangan dan fiskal negara, justeru marilah kita berusaha supaya Malaysia bebas daripada kleptokrasi serta menjadi negara demokrasi,” katanya.

Loading...

Leave a Reply