Kementerian Pelancongan syor cuti sekolah berperingkat antara negeri

0
541

GEORGETOWN – Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan akan mencadangkan supaya cuti sekolah dibuat secara berperingkat bagi memacu sektor pelancongan dan mengurangkan kesesakan di beberapa tempat tumpuan pelancong tempatan.

Timbalan Menterinya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, pihaknya sedang merangka cadangan itu dan akan dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan yang melibatkan cuti sekolah pada bulan Mac, Jun dan September sahaja.

“Kami sedang mengumpul data dari pihak hotel dan pengusaha sektor pelancongan sebelum berbincang dengan Kementerian Pendidikan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Arkeologi Negara keempat di sini hari ini.

Katanya, cadangan itu tidak akan melibatkan cuti sekolah di hujung tahun memandangkan tempoh cuti yang panjang itu seragam buat semua negeri.

“Dengan cuti sekolah secara berperingkat, kawasan tumpuan pelancong dalam negara akan menerima jumlah kunjungan pelancong lebih sekata sepanjang masa dan bukannya seperti keadaan sekarang apabila keadaan menjadi terlalu sesak menjelang tiba cuti sekolah,” tambahnya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here