Portal berita terbaik anda

Politik

Kemenangan tanpa pilihan raya anugerah Allah, kata pemimpin Pas

BAGAN SERAI – Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria berkata, kemenangan Muafakat Nasional-BERSATU melalui pertukaran kerajaan tanpa proses pilihan raya yang telah menjatuhkan Pakatan Harapan merupakan suatu anugerah daripada Allah.

Dalam ucapannya, Razman turut menyatakan bahawa Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu telah mengumumkan bahawa beliau tidak lagi bersama Kerajaan PH yang membawa hakikat bahawasanya kerajaan di Perak juga telahpun jatuh sebagaimana di Pusat.

“Ketika ini PAS dan Umno memiliki 28 kerusi di negeri Perak. Apabila kita campur dengan kerusi yang dimiliki oleh Ahmad Faizal serta rakan-rakannya (BERSATU), ia berjumlah 32 kerusi. Insya-Allah kita (PAS, Umno dan BERSATU) akan duduk bersama untuk menentukan MB,” jelas Razman.

Tambahnya di Ceramah Muafakat Nasional anjuran PAS Kawasan Bagan Serai itu, setelah seluruh ADUN menghadap Sultan Perak, maka dengan itu secara rasmilah kerajaan di negeri Perak ini akan diperintah oleh gabungan yang tidak ada DAP bersamanya.

“Kemenangan kali ini bukan payah kita nak gantung bendera, bukan payah kita nak berkempen, nak berkelahi adik-beradik, tapi Allah beri kemenangan kepada kita dengan usaha kita sedikit sahaja.

“Pemimpin atasan sahaja yang berusaha dengan satu hikmah yang Allah beri melalui kekalahan Umno dalam PRU14 lalu. Dengan kekalahan itu menjadi kesedaran kepada seluruh umat Melayu bahawa politik ini bukan sekadar nak naik siapa dan jatuhkan siapa,” terangnya.

Pesan beliau, setelah Allah mengurniakan kemenangan melalui kuasa pemerintahan, maka harus diisi dengan mendirikan solat di mana pemimpin haruslah melaksanakan program-program yang mendorong rakyat kepada mengingati Allah.

Ulasnya lanjut, kemenangan juga harus diraikan dengan penerapan konsep zakat yang sempurna iaitu untuk menjaga kebajikan seluruh rakyat dengan mengagihan kekayaan secara sama rata supaya tidak berlegar dalam kalangan orang tertentu sahaja.

“Allah telah beri peringatan kepada kita, melalui keperitan apabila kita hilang kuasa di negara kita yang majoritinya Melayu. Jadi, kesempatan yang Allah kembalikan pada kita ini, perlu dijaga dengan bersungguh-sungguh,” tegas beliau.

Lantaran itu, Razman menyeru ahli PAS dan Umno agar nikmat kemenangan ini wajar ditambahbaik dengan mengeratkan ukhuwah sesama Muslim yang sedia ada tanpa mengimbau sengketa lama.

“Dengan kerajaan baru yang kita dapat ini, kita perlu jaga. Jangan seronok sangat. Tak perlu perli-perli pihak lawan kita,” pesannya kepada seluruh hadirin sebagai penutup ucapannya di dalam ceramah itu, semalam. – HARAKAHDAILY 5/3/2020

Loading...

Leave a Reply