Kelindan maut dihentam tayar lori tercabut

91

SEORANG kelindan lori maut selepas dilanggar tayar yang dipercayai tercabut daripada treler di Kilometer (KM) 372.8 arah selatan, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), dekat Slim River hari ini.

Difahamkan, lokasi itu berhampiran tempat kemalangan ngeri yang menyebabkan seorang pemandu lori terbakar, Sabtu lalu iaitu KM 372 arah utara.

Ketua Polis Daerah Muallim Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, ketika kejadian 5.20 pagi itu, mangsa, Abdul Rashid Abdul Rahman, 29, dikatakan keluar daripada lori muatan barang dapur yang dipandu rakannya berusia 30 tahun.

Katanya, mereka dalam perjalanan dari Teluk Intan ke Kuala Lumpur, berhenti seketika di lorong kecemasan di kawasan itu untuk memeriksa bunyi di belakang kenderaan.

“Mangsa keluar dahulu sebelum rakannya, tetapi sebuah tayar treler melambung ke arahnya dan menghentam dia.

“Tayar itu dipercayai tercabut daripada treler yang gagal dikesan dan bergolek menerusi celah antara penghadang besi.

“Hentaman menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian, manakala rakannya tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Wan Kamarul Azran berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Slim River untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata sudah menghubungi pihak PLUS untuk memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) yang mungkin berada di kawasan itu bagi melihat kejadian.

Katanya, rakaman video ‘dashcam’ lori berkenaan turut diambil dan kenderaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim untuk siasatan lanjut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here