Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Politik

Kek PM8 hadiah dari peminat, bukan permintaan Anwar

KUALA TERENGGANU – Gambar kek berbentuk Putrajaya yang tertera perkataan PM8 sebagaimana tular di media sosial sejak semalam adalah hadiah daripada peminat dan penyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail berkata, tulisan yang tertera pada kek itu bukan arahan daripada pejabat presiden parti berkenaan atau kepimpinan di peringkat pusat untuk dipamerkan.

“Biasanya, tak kiralah sama ada kek, gegantung atau pelekat yang tertera perkataan PM8, ia bukan arahan daripada Datuk Seri Anwar atau pejabat beliau, malah beliau sendiri pernah menegah supaya tidak bersungguh-sungguh membuat perkara sedemikian.

“Ia dibuat oleh peminat-peminat sama ada orang ramai atau perseorangan serta pimpinan kecil yang menyanjung serta ingin menyatakan rasa keterujaan kepada beliau. Pada saya ia bukan menjadi satu kesalahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas taklimat khas di pejabat PKR Terengganu di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Romli Ishak; Setiausaha Politik Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dr Zaliha Mustafa dan Setiausaha Politik Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saiful Izham Ramli.

Mengulas lanjut, Azan menegaskan pihak kepimpinan PKR tidak dapat menghalang tindakan itu kerana bertepatan dengan perjanjian yang dibuat sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bersama parti komponen Pakatan Harapan (PH).

“Perkataan PM8 bukan perkataan menghina dan tak melanggar apa-apa etika pun. Ia bukan isu besar.

“Takkan kita nak halang orang ramai daripada menggelar beliau sebagai PM8. Lagipun keputusan itu juga sudah termaktub secara konsensus menulis perjanjian yang menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Ketujuh dan Anwar pula sebagai penggantinya.

“Kalau ada arahan daripada pejabat Datuk Seri Anwar sendiri supaya menulis gelaran itu, itu kita yakin akan menimbulkan interpretasi yang tidak baik,” katanya.

Dalam masa sama, Azan mengakui beliau tidak menolak kemungkinan terdapat juga gambar-gambar yang dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Kadang-kadang kita bimbang juga sekiranya ada orang yang memanipulasi gambar itu untuk tujuan tidak baik seperti membuat penambahan, edit dan sebagainya supaya benda itu nampak tak baik.

“Pada saya, selagi ia bukan arahan daripada Datuk Seri Anwar sendiri, tak jadi masalah. Lainlah kalau tulisan itu tulis Datuk Seri Anwar adalah PM (Perdana Menteri) buat masa sekarang. Itu memang salah,” katanya.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén