Portal berita terbaik anda

Utama

Kegagalan rangkaian di KLIA mungkin ada niat jahat – MAHB

PUTRAJAYA – Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) tidak menolak kemungkinan kegagalan rangkaian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak Rabu lalu disebabkan satu tindakan berniat jahat.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin, berkata pihaknya akan menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan penuh.

“Walaupun terdapat gangguan rangkaian dalam beberapa hari lalu, kami memberi jaminan kepada orang ramai bahawa aspek keselamatan di lapangan terbang masih utuh.

“Ini hasil kerjasama erat diberikan Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Raja Azmi berkata, sistem rangkaian berkenaan ketika ini sedang beroperasi dengan stabil dan baik.

“Kami ingin berterima kasih kepada syarikat penerbangan dan pihak berkepentingan kerana tetap bersama ketika kejadian berkenaan berlaku.

“Selain itu, kami juga berterima kasih kepada semua penumpang dan orang ramai atas kesabaran mereka. Jika memerlukan bantuan, sila hubungi ‘Ambassador Care’ yang ada di lapangan terbang berkenaan,” katanya.

Jumaat lalu, Raja Azmi memaklumkan masalah teknikal yang berlaku sejak 21 Ogos lalu di KLIA disebabkan kegagalan rangkaian.

Masalah teknikal itu menyebabkan kemudahan WiFi, paparan maklumat penerbangan balai pelepasan dan kaunter daftar masuk bagasi terganggu.

Susulan gangguan yang berlaku, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam satu kenyataan Sabtu lalu memaklumkan, tiada sebarang aktiviti serangan siber dikesan setakat ini susulan insiden gangguan teknikal di KLIA.

NACSA memaklumkan siasatan awal dilaksanakan MAHB mendapati kejadian ini kerana kegagalan perkakasan rangkaian.

Loading...

Leave a Reply