Kedai gunting rambut, salun kecantikan tak dibenar beroperasi

PUTRAJAYA – Kerajaan memutuskan semua operasi kedai gunting rambut, salon kecantikan dan kedai cermin mata tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata, perkara itu diputuskan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mesyuarat khas pagi tadi.

“Kerajaan mendengar pandangan rakyat, badan bukan kerajaan (NGO) dan juga turut mendapatkan pandangan pakar mengenai perkara ini.

“Sehubungan itu, Perdana Menteri membuat keputusan bahawa operasi kedai gunting rambut, salon kecantikan dan kedai cermin mata di seluruh negara tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP dilaksanakan,” katanya pada sidang akhbar di sini sebentar tadi.

Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengeluarkan senarai tujuh sektor perkhidmatan yang dibenarkan beroperasi bagi fasa tiga PKP bermula 15 April ini, antaranya kedai gunting rambut dan kedai cermin mata.

Pengumuman itu bagaimanapun menimbulkan perdebatan ramai berikutan kebimbangan kemungkinan wujud kluster baharu jangkitan COVID-19 di Malaysia di premis berkenaan.

Semalam, majoriti pengusaha kedai gunting rambut, dilaporkan sanggup menanggung kerugian dengan menutup kedai, berbanding menjalankan operasi dan berdepan risiko penularan jangkitan COVID-19 ketika PKP fasa ketiga berkuat kuasa hingga 28 April ini.

Loading...

Leave a Reply